Jualan sektor pembuatan naik 0.6 peratus kepada RM119.8 bilion pada Julai 2021

Jualan sektor pembuatan naik 0.6 peratus kepada RM119.8 bilion pada Julai 2021

KUALA LUMPUR,. Jualan sektor pembuatan Malaysia pada Julai 2021 meningkat 0.6 peratus kepada RM119.8 bilion berbanding bulan sama pada 2020.

Berbanding Jun 2021, nilai jualan merosot sebanyak 3.6 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan nilai jualan pada bulan ini dipacu oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (42.3 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

Pengembangan ini juga didorong oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (7.1 peratus) yang disokong oleh industri pembuatan produk makanan.

Jumlah pekerja sektor pembuatan pada Julai 2021 adalah seramai 2.21 juta orang, meningkat 0.8 peratus berbanding 2.19 juta pada Julai 2020.

Katanya peningkatan ini disumbangkan oleh pekerja dalam produk elektrik dan elektronik (3.4 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (2.5 peratus).

Jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM7.19 bilion, meningkat 1.5 peratus atau RM104 juta pada Julai 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,255 pada Julai 2021.

Bagaimanapun, nilai jualan setiap pekerja menurun 0.2 peratus kepada RM54,222 berbanding bulan yang sama pada 2020 (Julai 2020: RM54,356).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )