Jualan Syawal MADANI di 113 outlet tawar harga 30 peratus lebih murah
PETALING JAYA,. Jualan Syawal MADANI yang diadakan sempena Aidilfitri di 113 outlet di seluruh negara, menawarkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga yang lebih rendah sehingga 30 peratus berbanding harga di pasar biasa.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata program jualan itu dijalankan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menerusi Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok (MNS), bermula hari ini sehingga hari raya nanti.
“Jualan Syawal MADANI dianggarkan lebih murah berbanding pasar luar dengan perbezaan harga kira-kira 10 hingga 30 peratus kerana Fama yang berada di bawah KPKM bukan berasaskan keuntungan tetapi lebih kepada berasaskan perkhidmatan dan kita bukan mahu bersaing dengan pasar luar.
“Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih untuk keperluan hari raya yang turut dijual di outlet pemasaran ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Jualan Syawal MADANI Peringkat Kebangsaan Tahun 2023, di Pasar Tani Seksyen 6, Kelana Jaya, di sini semalam.
Pada masa yang sama, Mohamad turut mengingatkan setiap usahawan di outlet pemasaran Fama agar mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHIMMP) Hari Raya Puasa 2023 yang telah dikeluarkan oleh pihak KPDN.
Sementara itu Mohamad turut memberi jaminan bekalan jaminan bekalan telur, daging, ayam, sayur-sayuran dan kelapa untuk sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, adalah mencukupi.
Katanya pengguna tidak perlu bimbang untuk mendapatkan barang keperluan itu kerana persediaan awal untuk menambah bekalan barangan berkenaan sentiasa dibuat oleh agensi di bawah kementeriannya.
“Ayam, daging tiada masalah dan ini pun dah tinggal seminggu lagi untuk berhari raya, Insya-Allah cukup. Bekalan telur pun mencukupi dan kalau sesuatu tempat itu tiada bekalan telur, kita akan arahkan Fama untuk memenuhi keperluan di situ,” katanya.
Mengulas tentang isu pengimportan bekalan bekalan telur ayam, Mohamad berkata pihak kementerian setakat ini telah membuat garis panduan yang membolehkan pengimportan dilakukan pada bila-bila masa sekiranya negara mengalami masalah kekurangan bekalan.
“Tiada garis masa yang diperuntukan untuk telur import ini dan kita telah berbincang dengan semua pengeluar telur serta pengguna, bila keadaan runcing kita boleh import pada bila-bila masa,” katanya.
— BERNAMA