Jumlah ahli parlimen sokong Perikatan Nasional melebihi daripada asal – Zahid

Jumlah ahli parlimen sokong Perikatan Nasional melebihi daripada asal – Zahid

BAGAN DATUK,. Jumlah ahli-ahli parlimen yang menyokong Perikatan Nasional (PN), kini telah melebihi jumlah asal selepas yakin dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai perdana menteri.

Tanpa mendedahkan jumlah sokongan asal dan pertambahan itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah besar itu mencukupi untuk mendirikan sebuah kerajaan baharu seperti disahkan pada 29 Feb lalu, oleh Istana Negara.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) mesti diperkukuhkan, Muafakat Nasional (gandingan UMNO dan PAS) mesti diperkasa dan begitu juga dengan PN, kerana ujian di hadapan apabila Parlimen bersidang pada 18 Mei terlalu besar.

“PN wajib menguasai majoriti di Parlimen, bukan dengan jumlah Ahli Parlimen sedia ada sahaja, tetapi usaha mesti dilakukan untuk perkukuhkan PN dengan sokongan Ahli-Ahli Parlimen yang mahu menyertai kerajaan, ‘horse trading’ sedang rancak dijalankan oleh pihak lawan,” katanya ketika berucap pada perasmian berkelompok persidangan UMNO cawangan-cawangan empat peringkat dalam Bahagian Bagan Datuk Tahun 2020, di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini, hari ini.

Pada 1 Mac lepas, Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri, apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan pelantikan itu, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata PN perlu mengelakkan rasa telah cukup kuat dan selesa kerana dalam landskap politik ia baharu dan belum selamat, maka kesemua parti dalam PN wajib bersatu hati, fikiran serta tindakan.

Menurut Ahmad Zahid, beliau telah berbincang dengan Muhyiddin mengenai hala tuju PN dan katanya kerajaan baharu mesti mempunyai ‘road map’ bagi menyatakan secara jelas dasar serta pelaksaan program kerajaan.

Pakej rangsangan ekonomi dan dasar-dasar baharu bagi menggantikan dasar yang diumumkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini perlu diumumkan segera oleh PN.

Beliau berkata rakyat khususnya umat Islam mahu beberapa isu antaranya Tabung Haji (TH) dan pengurusan Felda perlu dipulihkan pada kadar segera, selain bantuan-bantuan kepada rakyat dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi, mesti diusahakan secepat mungkin.

“Bantuan untuk rakyat mesti disusun dengan rapi dan disegerakan, supaya rakyat dapat merasa semula pelbagai pemberian bantuan sara hidup, nasib pelajar di universiti dan Institut Pengajian Tinggi perlu dibela sewajarnya, terutamanya bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This