Jumlah Ingkar PKP Meningkat Mendadak Di Sabah

TAWAU,.Tangkapan individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat mendadak di Sabah, dalam tempoh lima hari fasa ketiga, sekali gus menunjukkan masih ramai tidak mengambil serius arahan pihak berkuasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata Sabah merekodkan seramai 525 individu ditahan sepanjang tempoh itu, berbanding 282 tahan dalam tempoh dua minggu fasa kedua PKP.

Katanya, dalam tempoh lima hari fasa ketiga PKP itu juga menyaksikan 143 kertas siasatan dibuka berbanding 163 sepanjang dua minggu fasa kedua PKP.

“Polis serius untuk menghentikan sebarang rantaian COVID-19, cukup masa untuk memberi nasihat dan semua penduduk sudah tahu mengenai PKP.

“Saya mengarahkan jika perlu mengeluarkan Black Maria, lakukan tangkapan kepada yang ingkar PKP, jumpa, tangkap,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di sini, hari ini.

Setakat ini, katanya, seramai 905 individu ditahan sejak PKP dikuatkuasakan, pada 18 Mac lalu.

Zaini berkata, pihaknya turut meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan Indonesia dan Filipina bagi menghalang cubaan kemasukan warga asing ke negara ini.

Katanya, langkah itu diambil bagi mengelak penularan COVID-19, di negara ini. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )