Jururawat sumbang 530 ayam semalam dan rempah-ratus
JASIN,. Menyedari ramai yang terbeban dengan masalah kewangan ekoran pandemik COVID-19 menjelang sambutan Aidiladha Selasa ini, seorang jururawat tampil dengan inisiatif bagi menghulurkan sumbangan ayam segar dan rempah ratus untuk membolehkan mereka yang terjejas sekitar bandar ini sekurang-kurangnya dapat menyediakan juadah meraikan hari istimewa itu.
Nur Athirah Mohd, 32, bersama anggota keluarganya mengambil inisiatif mengumpul dana bagi menjayakan Program Infaq Aidiladha 1 Keluarga 1 Hidangan, yang menyaksikan 530 ekor ayam segar dan 400 kilogram bahan mentah seperti bawang merah, bawang putih, serai, serbuk kari dan rempah sup diagihkan kepada mereka yang memerlukan, semalam.
“Usaha ini bagi memastikan mereka yang kurang berkemampuan turut sama dapat meraikan hari gembira buat umat Islam, dan sekurang-kurangnya mempunyai hidangan di pagi hari raya bersama keluarga,” katanya kepada pemberita pada program pengagihan sumbangan itu di Kilang Berapi, Merlimau di sini semalam.
Beliau berkata kutipan dana dilakukan sejak awal bulan ini dalam kalangan anggota keluarga, orang ramai serta badan bukan kerajaan yang turut sama menyumbang, dan menurutnya sumbangan turut dipanjangkan kepada masyarakat bukan Islam bagi meringankan beban mereka yang terkesan.
Seorang pekerja swasta, Azizah Ramli, 35, berkata sumbangan itu amat bermakna buatnya kerana ketika ini pendapatannya terjejas ekoran perlu bercuti daripada bekerja.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapatlah anak-anak menikmati lauk ayam pada Aidiladha nanti,” katanya.
Seorang suri rumah, Dayang Ibrahim, 58, pula berkata beliau berasa sangat gembira kerana sumbangan itu membolehkannya memasak juadah untuk hari raya seterusnya menceriakan sambutan Aidiladha keluarganya.
— Bernama