Juruterbang Ryanair lancar mogok

LONDON,. Juruterbang warga Britain, yang berkhidmat dengan syarikat penerbangan tambang rendah Ryanair akan mengadakan mogok bulan ini, bagi menuntut persekitaran kerja dan gaji yang lebih baik.

Persatuan Juruterbang Syarikat Penerbangan British (BALPA) dalam satu kenyataan berkata, mogok berkenaan akan berlangsung selama tujuh hari mulai 18 September hingga 29 September ini.

“Juruterbang Ryanair mahu dasar dan perjanjian sama seperti yang dinikmati di syarikat penerbangan lain.

“Permintaan kami bukanlah sesuatu yang tidak masuk akal,” kata kesatuan sekerja itu.

Menurut BALPA, juruterbang terbabit sudah mengadakan mogok pada 20 Ogos dan 23 Ogos lalu, termasuk yang terbaharu minggu ini, tetapi ia tidak menjejaskan operasi keseluruhan syarikat penerbangan berkenaan.

Ryanair turut berdepan tindakan mogok di beberapa negara, terutama di Sepanyol yang bakal diadakan bulan ini, bagi membantah rancangan untuk menutup operasi di beberapa pangkalan lapangan terbang.

Pada Julai lalu, syarikat penerbangan itu mengumumkan rancangan untuk mengurangkan kira-kira 900 pekerja, daripada keseluruhan kakitangannya seramai 13,000 orang.

Syarikat itu berkata, tindakan itu diambil berikutan penangguhan penerimaan pesawat Boeing 737 MAX 200, akibat dua kemalangan maut, membabitkan pesawat berkenaan. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )