
Kabinet Abe terus dapat sokongan walaupun terpalit skandal
TOKYO,. Sokongan rakyat Jepun terhadap Kabinet Perdana Menteri, Shinzo Abe terus meningkat meskipun terpalit dengan isu penahanan bekas Menteri Keadilan kerana disyaki membeli undi.
Berdasarkan undian menerusi akhbar tempatan, Mainichi Shimbun, sokongan terhadap Abe naik sembilan peratus kepada 36 peratus.
Undian sebelum ini menunjukkan sokongan terhadap barisan kepemimpinan Abe pernah jatuh 27 peratus selepas seorang pendakwa raya kanan Tokyo yang dilihat rapat dengan Perdana Menteri itu mengundurkan diri pada hujung Mei lalu kerana berjudi ketika perintah darurat di Jepun susulan penularan COVID-19.
Kelazimannya, kejatuhan sokongan pengundi bawah 30 peratus diibaratkan sebagai petanda bahaya.
Dalam laporan Mainichi Shimbun mengenai tinjauan terkini bagaimanapun tidak mengemukakan sebab tertentu berlakunya lantunan semula sokongan terhadap pentadbiran Abe.
Ia mungkin disebabkan keputusan kerajaan untuk menarik sekatan perjalanan domestik pada Khamis lalu apabila menyaksikan undian sebanyak 55 peratus yang mengalu-alukan tindakan sedemikian.
Berbanding 32 peratus pengundi, mereka ternyata tidak bersetuju dengan kelonggaran diberikan kerajaan apabila mahu sekatan dikekalkan.
Pada Khamis lalu, pendakwa raya menahan bekas Menteri Keadilan Jepun, Katsuyuki Kawai dan isterinya, Anri.
Mereka disyaki terbabit dengan kegiatan membeli undi dalam pilihan raya Dewan Negara pada tahun lalu.
Meskipun sokongan terhadap kerajaan Abe kembali melonjak, namun 59 peratus pengundi percaya Perdana Menteri itu memikul tanggungjawab berat dalam perkara berkenaan.
Berikutan skandal itu, Abe memohon maaf kepada rakyat dan akan bertanggunajawab atas pelantikan Kawai dalam barisan Kabinet.
Dalam tinjauan Mainichi Shimbun juga menunjukkan bahawa 59 peratus pengundi tidak yakin kejohanan Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguhkan pada Julai dan Ogos depan akibat COVID-19 boleh diadakan pada tahun depan.
Hanya 21 peratus percaya kejohanan sukan terbesar dunia itu dapat dilangsung pada 2021.
Mengenai situasi COVID-19 di Jepun, negara matahari terbit itu tidak terjejas teruk dengan penularan COVID-19 seperti di negara lain.
Menurut agensi penyiaran awam NHK, Jepun merekodkan 18,000 kes positif COVID-19 dengan 954 kematian. – Agensi