Kabinet Persekutuan: GPS serah sebarang keputusan kepada Abang Johari

KUCHING,. Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada pengerusinya yang juga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sama ada untuk menerima atau menolak, jika ditawarkan jawatan dalam kabinet Persekutuan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu telah diputuskan dalam satu mesyuarat di antara kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan dan semua Ahli Parlimen mereka di Kuala Lumpur semalam.

“Mandat penuh telah diberikan kepada Ketua Menteri Sarawak selaku Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, untuk memutuskan sama ada kita akan bersama dalam Kerajaan Persekutuan dengan menerima jawatan kabinet atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya GPS setakat ini belum mengadakan apa-apa perbincangan mengenai jawatan kabinet dengan Muhyiddin kerana fokus gabungan itu hanyalah kepada kestabilan politik negara dan kepentingan negeri.

“Buat masa sekarang GPS hanya melihat kepada kepentingan negara, untuk memastikan politik negara kembali stabil dan kepentingan Sarawak diutamakan,” katanya, sambil menambah dalam memberi sokongan kepada Muhyiddin, GPS telah meletakkan syarat tiada kompromi dalam kedua-dua perkara itu.

Fadillah berkata GPS turut membuat ketetapan untuk tidak akan bergabung di dalam Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional, tetapi akan terus bergerak sebagai sebuah entiti politik tempatan Sarawak yang tidak terikat dengan mana-mana gabungan lain.

Katanya GPS membuat keputusannya sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mahu semua parti politik memberikan pandangan dan menyatakan pendirian dalam menyelesaikan krisis politik negara.

“Dengan pelantikan Perdana Menteri kelapan (semalam), kerajaan kini boleh menumpukan perhatian kepada usaha untuk memulihkan ekonomi dan kewangan negara, menangani masalah bebanan hidup rakyat serta menarik kembali keyakinan pelabur,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )