Kadar baharu yuran permit guru swasta tahun depan – KPM

KUALA LUMPUR,. Mulai tahun hadapan kadar yuran permit mengajar guru-guru persendirian di institusi pendidikan swasta akan dilaksanakan seperti yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Permit Mengajar) 2013.

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ia akan melibatkan bayaran proses sebanyak RM10 dan bayaran fi permit sebanyak RM30.

“KPM ingin menjelaskan bahawa kadar bayaran baharu yuran permit mengajar bagi guru persendirian di semua institusi pendidikan swasta telah diwartakan pada tahun 2013.

“Namun disebabkan oleh kebolehupayaan sistem pelaksanaannya pada ketika itu agak terhad, maka bayaran lama berdasarkan Peraturan-Peraturan Guru (Pendaftaran) 1957 berjumlah RM2 masih dikekalkan sehingga tahun ini,” menurut kenyataan kementerian itu bagi mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang bertajuk ‘Yuran Permit Sekolah Menengah Dinaikkan Sebanyak 20 Kali’.

KPM berkata, kadar yuran permit mengajar itu akan dilaksanakan pada kadar baharu memandangkan sistem itu telah sedia beroperasi sepenuhnya.

“KPM sentiasa mendengar dan memastikan penambahbaikan terhadap pendidikan negara bagi menjamin kualiti sistem pendidikan yang terbaik untuk semua warga pendidik dan masyarakat amnya,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )