Kadar dasar faedah capai paras tertinggi dengan penurunan agak perlahan

Kadar dasar faedah capai paras tertinggi dengan penurunan agak perlahan

KUALA LUMPUR,. Kadar dasar faedah di Amerika Syarikat (AS), Zon Eropah dan United Kingdom (UK) kini berkemungkinan mencapai capai paras tertinggi untuk kitaran pengetatan ini, selepas ia kekal sejak suku ketiga 2023, kata Fitch Ratings.

Ia menjangkakan Rizab Persekutuan AS (Fed), European Central Bank (ECB) dan Bank of England (BOE) melaksanakan pemotongan kadar, walaupun ia lebih perlahan daripada yang dijangkakan oleh pasaran kewangan.

“Kami menjangkakan kadar dasar akan turun sebanyak 75 mata asas menjelang hujung 2024 di tiga ekonomi itu, dengan kadar Dana Fed (aras tinggi) pada 4.75 peratus, Kadar Pembiayaan Semula Utama ECB kepada 3.75 peratus dan Kadar Bank BOE kepada 4.5 peratus,” kata agensi penarafan kredit itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata bank pusat utama menetapkan kadar dasar tidak berubah dalam beberapa bulan ini dan kadar inflasi keseluruhan Indeks Harga Pengguna (IHP) turun dengan agak cepat, berikutan dasar pengetatan monetari sebelum ini menyebabkan aliran kredit isi rumah dan korporat menjadi lebih perlahan.

Fitch Ratings juga menyatakan bahawa pertumbuhan hutang isi rumah AS (kadar tahunan pelarasan bermusim) turun pada suku ketiga 2023 kepada 2.5 peratus dan pertumbuhan hutang korporat bukan kewangan perlahan kepada hanya 1.5 peratus, jauh lebih rendah berbanding kadar pada akhir 2022.

“Penurunan dalam pertumbuhan kredit lebih ketara di Zon Eropah, dengan kadar pertumbuhan kredit isi rumah dan korporat turun ke paras terendah yang dilihat dalam beberapa tahun.

“Pinjaman kepada korporat bukan kewangan menguncup pada Oktober sebanyak 0.3 peratus tahun ke tahun, penguncupan langsung pertama sejak Julai 2015. UK, Switzerland dan Kanada juga menyaksikan pertumbuhan kredit yang sangat perlahan,” katanya.

Dalam pada itu, ia berkata inflasi keseluruhan IHP terus menurun dalam kalangan majoriti ekonomi Fitch20, dengan beberapa pengecualian ketara, termasuk Rusia dan Turkiye.

Agensi itu turut mengesan kelembapan dalam perdagangan antarabangsa, dengan jumlah eksport dan import yang menguncup dalam beberapa bulan kebelakangan ini di negara termasuk AS, Zon Eropah, Jepun dan UK.
Pertumbuhan jumlah eksport China juga kekal lemah, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This