Kadar PSC lebih rendah, hadiah sempena ulang tahun kemerdekaan – AirAsia
KUALA LUMPUR, 30 Ogos — AirAsia Group gembira apabila kerajaan mendengar permohonannya supaya kadar caj perkhidmatan penumpang (PSC) dikurangkan bagi lapangan terbang selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ke destinasi bukan ASEAN.Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai hadiah sempena ulang tahun kemerdekaan negara bagi AirAsia.
“AirAsia berterima kasih kepada kerajaan atas persetujuan mengurangkan PSC. Kami yakin pengurangan kadar itu akan memberi manfaat kepada industri pelancongan secara keseluruhannya. Ini merupakan hadiah sempena ulang tahun kemerdekaan negara kepada kami,” katanya di sini, hari ini. Beliau berkata demikian semasa berucap sebelum majlis penandatanganan pembelian tambahan antara AirAsia dan Airbus bagi pesawat A330neo dan A321XLR di sini.
Hari ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengumumkan kadar PSC bagi penumpang penerbangan antarabangsa yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan lapangan terbang lain kecuali KLIA dikurangkan kepada RM50 daripada RM73 bermula 1 Oktober ini.Loke berkata kadar PSC bagi sektor lain di semua lapangan terbang terbabit kekal iaitu RM35 bagi penumpang penerbangan ASEAN dan RM11 untuk penerbangan domestik.
Kadar PSC di KLIA juga kekal iaitu RM73 bagi penerbangan antarabangsa, ASEAN (RM35) dan domestik (RM11), memandangkan ia adalah lapangan terbang premium, katanya. Sementara itu mengenai levi pelepasan, Fernandes berkata pihaknya tidak bersetuju dengan perkara tersebut namun akan terus membangkitkannya pada masa yang lain. Berkuat kuasa 1 September ini. rakyat Malaysia perlu membayar levi pelepasan antara RM8 dan RM150 apabila melakukan perjalanan ke luar negara.
Selain itu ketika ditanya mengenai gangguan sistem di KLIA baru-baru ini, beliau berharap Malaysia Airports Holdings Bhd akan menyiasat isu itu secara teliti. Kegagalan sistem KLIA selama dua hari pada Rabu lepas menyebabkan kelewatan dan pembatalan penerbangan serta tempoh menunggu yang panjang di kaunter daftar masuk memandangkan kakitangan lapangan terbang terpaksa mengguna pakai operasi manual.
Ia menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi. Setakat semalam, pihak polis dilaporkan akan menyoal siasat empat suspek berkaitan insiden terbabit.
— BERNAMA