Kadar tol di dua Jambatan Pulau Pinang kini seragam

Kadar tol di dua Jambatan Pulau Pinang kini seragam

BATU KAWAN,. Bermula 12 tengah malam tadi, pengguna bagi kategori kereta persendirian di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) di Pulau Pinang menikmati kadar tol RM7, sama dengan kadar tol di Jambatan Pulau Pinang.

Ahli Lembaga Pengarah Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) syarikat konsesi JSAHMS, Datuk Seri Farizan Darus berkata pengurangan daripada RM8.50 itu susulan pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, 11 Oktober lalu.

Menurut Farizan, sejak JSAHMS dibuka, sebanyak 32.6 juta kenderaan menggunakan jambatan itu dengan peningkatan purata jumlah kenderaan kira-kira 32 peratus setiap tahun.

“Jadi, peningkatan telah berlaku setiap tahun dan kita jangka ia akan terus meningkat apatah lagi apabila (bayaran) tol diturunkan.
“Data yang saya bagi tadi adalah purata melibatkan kira-kira 32 peratus dengan kadar RM8.50. Jadi, (apabila ia diturunkan) kepada RM7, ia dijangka meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran penyeragaman kadar tol di JSAHMS, di Batu Kawan malam tadi.

Pihaknya berharap dengan pengurangan kadar tol tersebut, kos sara hidup dapat dikurangkan dan kualiti kehidupan rakyat juga meningkat.

Justeru, dengan penyeragaman itu beliau percaya kesesakan di Jambatan Pulau Pinang dapat dikurangkan apabila pengguna beralih menggunakan JSAHMS.

Sementara itu, rata-rata pengguna kenderaan persendirian menyambut baik langkah kerajaan mengurangkan kadar tol berkenaan, malah ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kos pengangkutan mereka.

Pada pembentangan Belanjawan 2020, Lim mengumumkan kadar tol untuk kategori kereta persendirian di Jambatan Kedua Pulau Pinang akan dikurangkan daripada RM8.50 kepada RM7 bermula 1 Januari 2020 bagi menyeragamkan kadar tol di antara Jambatan Pertama dan Kedua.

CATEGORIES
TAGS
Share This