Kaji semula tahap keselamatan Taska, Tadika Perpaduan – Halimah Sadique

Kaji semula tahap keselamatan Taska, Tadika Perpaduan – Halimah Sadique

KUCHING,. Semua Jabatan Perpaduan negeri dan daerah telah diarahkan untuk menilai semula tahap keselamatan di taska dan tabika di kawasan masing-masing, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique hari ini.

Katanya pemeriksaan dan penilaian semula itu penting bagi menjamin keselamatan kanak-kanak yang datang untuk mendapatkan pendidikan prasekolah di taska dan tabika jabatan itu.

Beliau yang sedang dalam rangka lawatan kerja pertama ke negeri ini mengeluarkan arahan tersebut selepas beliau menegur pemasangan jeriji besi di Taska Genius di Kompleks Persekutuan Sarawak, Simpang Tiga, di sini semasa lawatan beliau ke taska berkenaan hari ini.

“Kita kena semak semula terutama dari segi keselamatan taska dan tabika dan setiap premis itu harus mendapat kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya kepada pemberita ketika lawatan itu.

Beliau menambah bahawa soal keselamatan bukan sahaja dari segi penyediaan makanan di taska dan tabika, tetapi juga keselamatan di dalam premis.

Sementara itu, Halimah berkata semasa perjumpaan beliau dengan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah pagi tadi, beliau telah menyerahkan geran Kawasan Rukun Negara (KRT) untuk negeri Sarawak bernilai RM3,615,800, iaitu pemberian geran fasa kedua, menjadikan jumlah keseluruhan geran KRT bagi tahun 2020 kepada negeri Sarawak berjumlah RM4,643,000.

Katanya, jumlah itu merupakan kenaikan sebanyak 12.5 peratus daripada jumlah geran KRT yang diterima negeri itu pada tahun 2019. Terdapat 8,274 KRT di seluruh negara termasuk 1,049 di Sarawak.

Selain itu, beliau turut menyerahkan peruntukan operasi pasca-COVID-19 sebanyak RM459,966 kepada Skim Rondaan Sukarela (SRS), Taska Genius Perpaduan (TGP) dan Tabika Perpaduan (TP).

Katanya, peruntukan ini akan digunakan oleh jentera Perpaduan Sarawak dalam penyediaan dan operasi fungsi masing-masing selepas dibenarkan beroperasi mengikut prosidur operasi standard (SOP) yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam pada itu, bagi meningkatkan keharmonian kalangan rakyat berbilang agama, beliau berkata kerajaan negeri Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah bersetuju bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara dalam hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan rumah ibadah bukan Islam di negeri ini.

UNIFOR ditubuhkan pada 26 Mei 2017 sebagai unit baharu di Jabatan Ketua Menteri Sarawak untuk mengawal selia dasar bagi mempromosikan keharmonian antara agama selain menilai, mencadangkan dan merumuskan dasar, undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan hal ehwal agama bukan Islam di Sarawak.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This