Kalah di Pontian pada PRU14, Karmaine Azam bangkit di Tanjung Piai

Kalah di Pontian pada PRU14, Karmaine Azam bangkit di Tanjung Piai

PONTIAN,. Kalah sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ketika bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Pontian tidak menjejaskan keyakinan Karmaine Sardini untuk terus menabur bakti kepada masyarakat, sebaliknya pengalaman itu memberikan lebih keyakinan kepadanya.

Justeru, apabila ditawarkan menjadi calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, yang bersebelahan Parlimen Pontian, beliau melihatnya sebagai kepercayaan daripada pimpinan utama parti terhadapnya, apatah lagi beliau memang berasal dari kawasan Tanjung Piai dan merupakan ketua Bersatu bahagian itu.

“Kalah adat pertandingan. Situasi berbeza sekarang. Waktu di Pontian saya tiada jawatan dalam PH di Bahagian Pontian. Daerah Pontian ada dua kawasan Parlimen, Pontian dan Tanjung Piai. Saya memang asal Tanjung Piai.

“Waktu PRU14, pucuk pimpinan putuskan letakkan arwah Md Farid (Datuk Dr Md Farid Md Rafik) (bertanding) di Tanjung Piai dan saya di Pontian. Memang itu satu cabaran dan sukar, kerana pada PRU13, Datuk Seri Ahmad Maslan menang dengan lebih 13,000 undi majoriti,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini.

Katanya walaupun tidak dikenali dan tidak begitu memahami keadaan di Pontian, beliau tetap berusaha dan hanya tewas kepada Ahmad dengan majoriti 833 undi.

“(Kekalahan pada PRU14) tak lemahkan semangat, sebaliknya saya cukup bersyukur kerana orang boleh terima walaupun hanya beberapa hari berkempen. Situasi kini berbeza apabila bertanding di Tanjung Piai, apatah lagi kini PH adalah kerajaan (di peringkat negeri dan Persekutuan),” katanya.

Karmaine, 66, berkata PRK Tanjung Piai bukanlah sekadar pertandingan beliau menentang calon-calon lain, tetapi tentang PH sebagai kerajaan dicabar parti dan pihak lain.

“Keputusan untuk saya bertanding bukan Bersatu yang buat keputusan… nama saya diangkat di peringkat pimpinan PH, mereka yang buat keputusan. Saya menurut amanah PH. Ini bukan pertandingan saya tetapi antara parti (PH) lawan parti-parti lain. Ia bukan nak tukar kerajaan, kita nak kekalkan PH supaya penduduk dapat manfaat daripada parti kerajaan,” katanya.

Karmaine yang merupakan anak tempatan Tanjung Piai pernah menjadi guru sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang dekat sini (1973-1977) sebelum meneruskan pendidikan dalam bidang seni bina seterusnya berkhidmat sebagai arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (1978-1990).

Selepas itu, beliau menjalankan perniagaan sendiri serta menjadi Imam di Masjid Al-Muttaqin Taman Sutera, Johor Bahru selain menjadi Penasihat Pusat Tahfiz Al-Irsyad, Taman Sutera, Johor Bahru dan Pengerusi Biro Agama Bersatu Johor. Beliau juga adalah penerima Anugerah Ibu Bapa Mithali Peringkat Daerah Johor Bahru pada 2009.

Ramai yang melihat beliau sebagai individu yang menjurus ke arah keagamaan tetapi turut mempunyai latar belakang profesional yang baik, dan itulah yang beliau tekankan kepada anak-anak beliau, tiga perempuan dan seorang lelaki.

“Pertama didik (anak-anak) dalam agama kemudian beritahu betapa pentingnya ilmu dan didik akhlak serta suka kepada benda-benda baik… faktor agama. Jaga agama insyaAllah akan berjaya,” katanya.

Beliau juga merupakan penggerak awal Bersatu di Tanjung Piai sebelum PRU14 bersama Allahyarham Dr Md Farid yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai.

“Dalam konteks peringkat bahagian dalam Bersatu, saya dan dia (Md Farid) ada membuat beberapa perancangan untuk masyarakat di Tanjung Piai termasuk di peringkat parti, tetapi tidak sempat untuk dilaksanakan kerana dia dah pergi dulu (meninggal dunia),” katanya.

Ditanya tentang umurnya yang dijadikan isu dan digelar “calon tua”, Karmaine berkata beliau tidak ambil peduli tentang perkara itu, sebaliknya menjadikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia 94 tahun sebagai inspirasi untuk bekerja keras.

Pada PRK ini, Karmaine dicabar calon Barisan Nasional daripada MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz mewakili Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa); serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan Dr Md Farid, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas. Hari mengundi ditetapkan pada 16 Nov ini.

— BERNAMA

Laporan eksklusif oleh Kamarul Ariffin Md Yassin

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )