Kalahkan Kemboja dan Laos sebelum Jepun – P.Maniam

Kalahkan Kemboja dan Laos sebelum Jepun – P.Maniam

SEPANG,. Ketua jurulatih skuad Bawah 15 Tahun (B-15) negara, P.Maniam menyifatkan dua aksi pertama saingan kumpulan sebagai kunci utama bagi meraih keputusan positif pada pusingan Kelayakan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Laos bermula Rabu depan.

Diundi dalam Kumpulan J, Malaysia akan berdepan Kemboja (18 Sept) dan pasukan tuan rumah (20 Sept) sebelum menamatkan aksi kumpulan dengan membuat perhitungan berdepan jaguh Asia, Jepun (22 Sept) dalam misi layak ke pentas pusingan akhir Kejuaraan B-16 AFC 2020.

Di atas kertas, Malaysia yang menjuarai Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-15 pada Ogos lepas mempunyai segala keupayaan untuk mara dengan sekurang-kurangnya muncul sebagai antara lima pasukan naib juara terbaik setiap kumpulan.

Namun, Maniam enggan terlalu selesa dan menegaskan pasukannya tetap perlu menampilkan kualiti permainan mengikut perancangan dibuat sepanjang kem latihan supaya objektif setiap perlawanan dapat dicapai.

“Pemain kini begitu fokus dan tumpuan mereka sudah terarah kepada tiga perlawanan itu tetapi kita tidak boleh ambil mudah terutama perlawanan dengan Kemboja dan Laos. Kedua-dua aksi itu adalah mustahak bukan sahaja kita perlu menang tetapi jumlah jaringan juga perlu dititikberatkan.

“Kalau kita menang dua aksi awal selepas itu saya rasa pemain ada lebih motivasi untuk bermain dengan Jepun yang kita semua maklum mereka adalah satu pasukan yang berada di tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Skuad B-15 negara menjuarai kejohanan jemputan antarabangsa Persatuan Bola Sepak China (CFA) Julai lepas selepas melakar kejutan menumbangkan dua gergasi Asia Iran 2-0 dan Korea Utara (2-1) sebelum terikat 1-1 berdepan China.

Skuad yang dibarisi sebahagian besar pemain Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) itu turut menewaskan Australia 3-0 pada aksi kumpulan saingan Piala AFF B-15.

Sehubungan itu, Maniam berkata barisan pemain perlu menonjolkan kemampuan individu dimiliki ketika bermain sebagai sebuah pasukan sekiranya berhasrat meraih tiga mata berdepan Jepun.

“Saya selalu pesan mereka (pemain) harus bermain sebagai sebuah pasukan dan fokus kepada prestasi individu…ia mustahak. Kalau kita boleh bawa ia ke dalam perlawanan ketiga berdepan Jepun saya rasa kita ada peluang untuk menang,” tambah Maniam.

Sebagai rekod, Malaysia berpesta gol dengan mencatat keputusan 10-0 diikuti kemenangan 4-0 dalam dua aksi persahabatan menentang Mongolia pada 6 dan 9 Sept lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This