“Kami menganggapnya sebagai satu pertembungan mesra” – PBS

“Kami menganggapnya sebagai satu pertembungan mesra” – PBS

KOTA KINABALU, 12 Sept — Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan pertembungan antara sekutu gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) serta parti itu di 17 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 sebagai satu “pertembungan mesra.”

Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Radin Malleh berkata parti itu melihat perkembangan ini secara positif dan akan memperkukuh kedudukan PN di Sabah.

“Kami menganggapnya sebagai satu pertembungan mesra. Apa yang penting ialah parti komponen PN memenangi semua kerusi yang ditandingi,” menurut Pengarah Operasi Pilihan Raya PBS itu dalam satu kenyataan.

Beliau mengakui semua usaha telah dilakukan bagi mengelak berlakunya pertembungan itu namun ia sesuatu yang sukar.

Radin sendiri bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang menyaksikan persaingan enam penjuru membabitkan BN, Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Demokratik Liberal (LDP).

Beliau berkata perkara itu telah dibangkitkan dalam beberapa pertemuan berhubung pengagihan kerusi yang menyaksikan terdapat pertindihan kerusi dengan parti sekutu lain.

BN akan bertembung dengan sekutunya PN dan PBS di 17 daripada 73 kerusi pada PRN Sabah iaitu Bengkoka, Telupid, Lumadan, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Kapayan, Karamunting, Melalap, Sook, Bingkor, Moyog, Tulid, Paginatan, Liawan, Tambunan dan Tanjung Aru.

Sementara itu, usaha Bernama untuk menghubungi Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor tidak berhasil.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This