‘Kante tidak akan menipu’

‘Kante tidak akan menipu’

LONDON,. Penjaga gol Chelsea, Willy Caballero memberi sokongan kepada N’Golo Kante susulan kebimbangan rakan sepasukannya itu terhadap COVID-19.

Pemain tengah itu diberi kebenaran tidak menghadiri latihan minggu lalu dan dimaklumkan dia tidak akan dipaksa menghabiskan baki musim ini jika tidak selesa.

Kante kehilangan abangnya susulan serangan jantung seminggu sebelum Piala Dunia 2018 dan beberapa bulan sebelumnya, dia pengsan ketika latihan sebelum disahkan sihat.

Penjaga gol itu mengakui dia memahami situasi Kante dan berkata ‘Kante negatif COVID-19 tetapi dia berdepan detik sukar ketika tempoh kuarantin dengan simptom virus yang menakutkannya.’

“Kami menghormati keputusannya dan kami akan tunggu sehingga dia selesa. Jika kita mahu teruskan bermain, kita perlu berada dalam keadaan baik dan yakin kerana apabila beraksi semula, kita perlu bersama memandang ke depan.

“N’Golo sangat rendah diri dan rajin serta sentiasa tersenyum. Dia pasti memiliki sebab untuk menyuarakan apa yang dirasakan.

“Kami banyak melakukan perbincangan dengan Frank Lampard dan pemain lain. Dia memberitahu dia rasa tidak selamat untuk kembali berlatih kerana apa yang dirasainya sejak beberapa minggu lalu.

“Kami tahu dia suka berlatih dan berlari. Dia tidak akan menipu untuk perkara seperti ini. Kami memberi sokongan dan hormati keputusannya,” katanya. -Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This