Kapal kargo alami masalah sebelum karam di Jepun, kata anak kapal

Kapal kargo alami masalah sebelum karam di Jepun, kata anak kapal

KAGOSHIMA, 4 Sept — Seorang kru lelaki warga Filipina yang diselamatkan dari sebuah kapal kargo berdaftar di Panama berkata kapal itu karam setelah terbalik, lapor Jiji Press yang memetik pegawai Pengawal Pantai Jepun pada Khamis.

Pengawal pantai masih menjalankan misi mencari dan menyelamat 42 anak kapal bukan warga Jepun. Mereka merupakan kru kapal Gulf Livestock 1, seberat 11,947 tan yang membawa sekitar 5,800 ekor lembu.

Ibu pejabat pengawal pantai wilayah ke-10 di Kagoshima, barat daya Jepun, menerima isyarat kecemasan dari kapal itu ketika sedang belayar di perairan Laut China Timur di sebelah barat Pulau Amami-Oshima di wilayah Kagoshima, Rabu pagi.

Kru yang diselamatkan itu memberitahu pengawal pantai bahawa kapal berkenaan tidak dapat dikemudi setelah enjinnya terhenti dan ombak menyebabkannya terbalik, menurut pegawai.

Katanya, dia melompat ke laut dengan memakai jaket keselamatan dan melihat kapal itu tenggelam.

Kapal kargo itu belayar dalam cuaca ribut yang disebabkan oleh Taufan Maysak, taufan kesembilan tahun ini. Kapal itu berlepas dari New Zealand pada 14 Ogos dan dijadual tiba di Tangshan, wilayah Hebei, China, pada Jumaat minggu ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This