Kapten Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (tengah) meraikan jaringan ketiganya bersama rakan sepasukan. – Reuters

LONDON,. Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mengakui Pierre-Emerick Aubameyang sudah memadam semua keraguan mengenai komitmennya kepada kelab apabila kapten Arsenal itu meledak dua gol ketika menang 3-2 mengatasi Everton awal pagi tadi.

Untuk sebahagian besar musim bermasalah, Arsenal sudah tampak akan disingkirkan daripada kelayakan ke Liga Juara-Juara.

Namun selepas pulih daripada kerosakan pada era Unai Emery, kebangkitan mereka di bawah Arteta sudah menampakkan hasil.

Bermula dengan gol minit pertama Dominic Calvert-Lewin di Stadium Emirates, Arsenal menyamakan kedudukan menerusi Eddie Nketiah dan mendahului hasil gol Aubameyang.

Richarlison menyamakan kedudukan buat Everton pada babak pertama tetapi penyerang Gabon itu sekali lagi menemui gawang selepas rehat.

Bos Gunners, Arteta mendedahkan dia tidak begitu yakin dengan mentaliti Aubameyang sebelum dia mengambil alih kelab itu tetapi melihat kepada kaptennya itu kembali membantu pertahanan pada penghujung saingan, kembali memberi keyakinan buat pengendali dari Sepanyol itu.

“Sebelum saya mengambil alih, saya ada persoalan mengenainya tetapi dia menunjukkan komitmen. Saya mahu dia menunjukkan jika dia mahu melakukannya dan lakukannya dengan betul,” kata Arteta.

“Saya sangat gembira dengannya. Dia menjaringkan gol penting dan sebagai kapten dia menunjukkan contoh baik kepada sesiapa saja dengan cara dia juga turut bertahan.”

Arsenal kini mendaki mengatasi Everton ke kedudukan kesembilan dan empat mata di belakang pasukan tangga kelima, Manchester United. – AFP

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )