Kasari bayi: Wanita direman empat hari mulai hari ini

Kasari bayi: Wanita direman empat hari mulai hari ini

JOHOR BAHRU,. Wanita tempatan yang ditahan awal pagi ini untuk membantu siasatan kes mengasari bayi di sebuah taska di Mutiara Rini, dekat Skudai, direman empat hari mulai hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Majistret R Salini ke atas wanita berusia 21 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadapnya mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu, wanita tersebut yang merupakan pengasuh di sebuah taska, dibawa ke Mahkamah Johor Bahru dengan berpakaian lokap berwarna jingga, akan direman sehingga Jumaat ini.

Sebelum itu, dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata wanita berkenaan ditahan 2 pagi tadi di Selesa Jaya, Skudai, oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Iskandar Puteri.

Menurut beliau, hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku di sebuah taska di Mutiara Rini, melibatkan seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan, selain taska itu didapati beroperasi secara tidak sah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

–Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This