Kastam gagalkan cubaan seludup minuman keras bernilai lebih RM1.17 juta

Kastam gagalkan cubaan seludup minuman keras bernilai lebih RM1.17 juta

KUALA LUMPUR,. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit I (WPKL) menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras dianggarkan bernilai RM1,170,595 di Pelabuhan Klang pada 26 dan 31 Mei lepas.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah JKDM Wong Pun Sian berkata bagi kes pertama, pasukan operasi daripada Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit I (WPKL) telah menahan sebuah kontena bersaiz 12.19 meter yang memasuki Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 8 malam, 26 Mei lepas.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap kontena tersebut menemukan minuman keras berjenama ‘Spark Beer Extra Strong’ berjumlah 26,160 liter dengan anggaran RM111,120 membabitkan jumlah cukai dan duti dianggarkan berjumlah RM793,030.

“Berdasarkan maklumat di dalam bil muatan dan Borang Kastam 1, dagangan tersebut diikrarkan sebagai ‘barang perkakasan rumah’ dari negara jiran dan wakil perkapalan telah gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan tersebut.

“Dagangan minuman keras tersebut diletakkan di bahagian belakang muatan kontena dan bahagian hadapan diletakkan kotak polyfoam bagi mengaburi pihak kastam. Modus operandi ini dipercayai sering digunakan terhadap kontena yang membawa dagangan terlarang untuk memasuki pintu pelabuhan negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagi kes kedua, Wong berkata pihaknya mematahkan cubaan menyeludup 12,616.20 liter minuman keras berjenama ‘Tsingtao dan Demailong’ dianggar bernilai RM93,940 membabitkan jumlah cukai dan duti yang terlibat dianggarkan berjumlah RM172,505, selepas menahan sebuah kontena bersaiz sama di pelabuhan sama pada 8.30 malam, 31 Mei lepas.

Beliau berkata semakan ke atas Borang Kastam 1 mendapati kontena berkenaan diikrar sebagai aksesori memancing (umpan tiruan) dari negara jiran dan wakil perkapalan gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan tersebut.

“Modus operandi yang digunakan adalah cuba berselindung di sebalik pengikraran barangan sukan atau hobi dan akan membayar cukai berdasarkan kod tarif terlibat. Selain itu, pengimport dagangan ini akan sentiasa bertukar ejen penghantaran agar aktiviti pengimportan minuman keras sukar dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Wong berkata siasatan bagi kedua-dua kes itu masih dilakukan untuk mengesan syarikat atau ejen pengimport yang terlibat bagi tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This