Kastam Johor gagalkan cubaan seludup minuman keras bernilai RM1.8 juta

Kastam Johor gagalkan cubaan seludup minuman keras bernilai RM1.8 juta

JOHOR BAHRU,. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras bernilai RM1.8 juta termasuk cukai selepas memeriksa sebuah lori kargo ‘bonded’ di Kilometer 13, Lebuhraya Lingkaran Kedua (Arah Utara), Iskandar Puteri, Khamis lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata rampasan tersebut melibatkan sebanyak 22,400 liter minuman keras mengandungi 36,708 botol atau tin minuman keras pelbagai jenama yang tidak berkastam, dipercayai telah diseludup masuk dari negara jiran di selatan tanah air.

Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata turut dirampas adalah sebuah lori kargo ‘bonded’ 10 tan bernilai RM80,000 menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai adalah RM1.8 juta.

Pada kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, yang turut tular di media sosial, Abdul Latif berkata pasukan serbuan mula mengekori lori tersebut dari Lebuh Raya Sultan Iskandar, bagaimanapun usaha mengekori lori tersebut dihalang beberapa kali oleh beberapa kenderaan yang disyaki tonto sindiket tersebut daripada terus mengekori lori itu.

“Rentetan daripada itu, pasukan serbuan yang terdiri daripada dua kenderaan Kastam dan sebuah MPV Polis Iskandar Puteri kemudiannya telah mengarahkan pemandu lori tersebut untuk berhenti tetapi tidak diendahkan dan terus memecut laju untuk melarikan diri.

“Ketika pasukan serbuan mengekori lori tersebut kira-kira 200 meter sebelum bulatan pusingan Lebuh Raya Sultan Iskandar, pemandu lori telah bertindak memberhentikan kenderaan secara mengejut dan mengundurkan lori tersebut serta melanggar kenderaan jabatan menyebabkan bahagian hadapan kenderaan jabatan remuk.

“Susulan tindakan bahaya pemandu berkenaan, seorang daripada anggota pasukan bertindak melepaskan tujuh das tembakan ke arah tayar lori bagi menjaga keselamatan dan sebagai langkah menghalang pemandu lori bertindak lebih agresif,” katanya.

Abdul Latif berkata pemandu lori itu seterusnya bertindak memberhentikan kenderaan di laluan kanan sekali dan melarikan diri ke seberang lebuh raya, namun tindakan pantas kedua-dua pihak berkuasa berjaya mengejar dan memberkas lelaki itu kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

Menurut beliau, pemandu warga tempatan berumur 44 tahun itu gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan dagangan yang dibawa masuk dan semakan polis mendapati pemandu tersebut mempunyai dua kes jenayah lampau.

Ketika ditanya bagaimana lori berkenaan boleh melepasi sempadan negara, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan orang dalam dan siasatan selanjutnya akan dilakukan.

Beliau juga berkata siasatan akan dijalankan bagi mengesan tonto-tonto yang masih bebas dan berharap pemilik video yang berjaya merakam insiden tersebut tampil bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967, Seksyen 74 (1)(d) Akta Eksais 1976 dan Seksyen 136 (a) Akta Kastam 1967.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This