
Kaum India disaran tingkatkan kemahiran diri untuk jayakan WKB 2030
KUALA LUMPUR, 4 Sept — Kaum India disaran menyahut cabaran kerajaan untuk sentiasa meningkatkan kemahiran diri agar dapat bersaing dengan masyarakat lain demi menjayakan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata peranan mereka sama penting dengan kaum lain dalam membantu membangunkan ekonomi negara.
“… untuk berbuat demikian, sokongan terhadap kerajaan amat penting kerana kerajaan yang stabil menjamin lebih ramai pelabur untuk datang ke negara ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Forum Peranan dan Penyertaan Masyarakat India dalam WKB2030, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Menteri Luar Datuk Kamaruddin Jaffar.
Santhara yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata Forum Peranan dan Penyertaan Masyarakat India dalam WKB2030 itu bertujuan membincangkan arah tuju dan peranan yang boleh dimainkan kaum India di negara ini antaranya dalam bidang pendidikan, peluang pekerjaan dan perumahan.
“Saya melalui Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) juga telah menyenaraikan secara terperinci beberapa cadangan dalam sektor tersebut untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia ke-12,” katanya, menambah perkara itu bagi membolehkan peranan dan manfaat yang diterima kaum India dapat dilihat pada 2030.
— BERNAMA