Kaunter perkhidmatan bergerak DUN Tanjung Batu Sabtu dan Ahad ini

Kaunter perkhidmatan bergerak DUN Tanjung Batu Sabtu dan Ahad ini

BINTULU: Pasukan Perkhidmatan Bergerak Pusat Khidmat Rakyat DUN Tanjong Batu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bintulu akan membuka kaunter perkhidmatan bergerak ‘Mobile Service2U N68’ pada Sabtu dan Ahad ini, bermula jam 10 pagi hingga 5 petang di Boulevard Shopping Mall Bintulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang berkata, program itu antara aktiviti utama pusat khidmatnya untuk membantu rakyat dalam memohon pelbagai kemudahan disediakan kerajaan Sarawak.

Katanya, perkara utama ialah orang ramai boleh melaporkan masalah setempat kepada pasukannya supaya dapat ditangani dengan lebih baik sekali gus dapat bekerjasama mewujudkan komuniti yang harmoni.

“Kita turut menjemput agensi kerajaan dan jabatan menyertai program ini, antaranya, JKM Bintulu,” katanya pada sidang media di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, melalui penyertaan jabatan kerajaan, dasar-dasar yang baik dapat disampaikan kepada akar umbi dan penjelasan paling terperinci dapat diberikan kepada rakyat.

Ujarnya, pegawai dari JKM juga akan turut membantu dalam program ini terutamanya untuk warga emas yang ingin mendaftar Kenyalang Gold Card (GSC) dan Skim Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB).

“Saya menyeru orang ramai memanfaatkan pembukaan kaunter tersebut setiap minggu bagi memberikan pendapat membina dan mengemukakan permasalahan dihadapi rakyat,” kata Pengerusi SUPP cawangan Bintulu tersebut.

Katanya, pihaknya memberi jaminan akan membantu sepenuhnya rakyat yang ingin menyampaikan aduan kepada jabatan berkaitan untuk tindakan susulan, semakan dan penyelesaian.

-Agensi

CATEGORIES
Share This