Kawalan sempadan negara dipertingkatkan pada hari pengundian PRU15
KOTA TINGGI,. Kawalan sempadan perairan negara melibatkan negeri ini akan terus dipertingkatkan terutama menjelang hari pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15, Sabtu ini, kata Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Beliau berkata pihaknya dengan kerjasama agensi penguatkuasaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin akan meningkatkan pengawasan kawalan dalam memastikan perairan negara tidak dibolosi meliputi sepanjang 210 kilometer perairan Johor.
Kamarul Zaman berkata ini bagi memastikan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan terutama menjalankan aktiviti menyeludup pendatang tanpa izin, ketika negara mengadakan pilihan raya.
“Semua aset agensi penguatkuasaan akan digerakkan secara bersepadu bagi memantau perairan Johor, daripada Mersing sehingga ke Tanjung Pengelih.
“Kita akan pastikan bahawa sempadan kita tidak akan dibolosi oleh mana-mana penyangak semasa pilihan raya (dilaksanakan). Kita akan pastikan kawalan tersebut juga diketatkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama Agensi Penguatkuasa Sempadan Perairan Johor sempena PRU15 di Pos Tanjung Sepang, Bayu Damai, di sini, hari ini.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata pihaknya akan menambah kekuatan anggota dan pegawai untuk bertugas pada hari pengundian kepada 8,500 orang berbanding sekitar 3,000 hingga 4,000 sepanjang waktu berkempen.
Menurutnya, jumlah anggota dan pegawai ditambah bagi memastikan proses dan perjalanan PRU15 di 26 Parlimen, berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
“Setakat ini, tiada kawasan panas. Sepanjang 11 hari berkempen berjalan, tiada satu pun kawasan panas semua sama sahaja. Walau bagaimanapun, kita akan tugaskan semua anggota dan jika ada kawasan yang perlu ditambah, kita akan tambah,” katanya.
— BERNAMA