
KBS, MSN usahakan mekanisma sokongan dan pembiayaan bagi persatuan-persatuan sukan
KUALA LUMPUR,. Pembiayaan bagi persatuan-persatuan sukan kebangsaan (NSA) akan dibuat berdasarkan kepada pencapaian sukan berkenaan di Sukan SEA, namun ia tidak bermakna mereka yang gagal mencapai sasaran dalam acara sukan dwi tahunan itu akan dipinggirkan begitu sahaja.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata mekanisma sokongan dan pembiayaan sedang diusahakan, dan akan diputuskan selepas Majlis Sukan Negara (MSN) menerima laporan post-mortem Sukan SEA daripada persatuan-persatuan sukan terlibat.
“Mereka yang berjaya mencapai sasaran pingat emas, pasti akan mendapat sokongan, tapi ia bukan bermakna sekiranya anda gagal mencapai sasaran, anda tidak akan diberi pertimbangan lagi.
“Itu sebabnya kita nak lihat laporan post-mortem terlebih dahulu, (jumpa atlet) dan lihat potensi atlet berkenaan dalam sukan yang diceburinya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran kerjaya Graduan Aspire 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) di sini hari ini.
Semalam Hannah mengarahkan NSA menghantar laporan post-mortem bersama dengan rancangan jangka pendek dan panjang mereka kepada MSN, bagi membolehkan ia membuat keputusan mengenai sokongan yang dapat diberikan kepada sukan tertentu.
Pada temasya Sukan SEA Kemboja yang baru berakhir beberapa hari lepas, Malaysia hanya mampu menduduki tempat ke tujuh dengan kutipan 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa, rekod terburuk negara dalam Sukan SEA sejak 1959, di samping gagal mencapai sasaran kutipan pingat 40-37-64.
Sementara itu Hannah meminta supaya pihak majikan dan pekerja sama-sama mencari penyelesaian bagi isu-isu sosial yang dihadapi oleh generasi belia semasa.
Katanya berdasarkan kepada kaji selidik oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), sebuah agensi di bawah kementeriannya, bankrap merupakan masalah utama yang sering dihadapi belia, diikuti dengan isu pornografi, judi atas talian, dadah, kecenderungan bunuh diri, dan kesihatan mental.
Katanya adalah diharapkan para siswazah tidak memilih majikan hanya berdasarkan kepada gaji semata-mata, sebaliknya beberapa faktor lain perlu diambil kira, antaranya termasuk inspirasi untuk ke tempat kerja setiap hari, dan budaya tempat kerja yang positif.
Beliau turut meminta supaya pihak majikan memberi perhatian kepada keperluan tertentu yang diperlukan oleh pekerja, terutama mereka mempunyai anak atau ibu bapa yang perlu dijaga.
Sementara itu ketua pegawai eksekutif Graduan, Nabil Marie berkata kira-kira 50,000 hingga 60,000 siswazah dijangka menghadiri pameran kerjaya edisi ke-13 yang berlangsung hari ini dan esok, dengan lebih pembabitan 100 majikan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan.
–BERNAMA