KBS sedia perketatkan SOP aktiviti sukan

KBS sedia perketatkan SOP aktiviti sukan

PASIR MAS,. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sukan berdasarkan situasi semasa penularan pandemik COVID-19, kata Timbalan Menterinya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

“Jika kita lihat Kluster Sivagangga contohnya semakin serius mungkin ada pertimbangan keadah lain bagi memperketatkan SOP sedia ada selain kementerian perlu tunggu pengumuman pada hujung bulan ini.

“Setakat ini, kami mengikuti SOP dan arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sehingga kini kementerian belum mendapat maklumat untuk melihat semula SOP yang digariskan sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas program ramah mesra timbalan menteri bersama anak jati Kelantan di Dewan Kemas, Lubok Jong Pasir Mas di sini, pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Fayhsal berkata cadangan untuk membina litar permotoran sedang diusahakan oleh pihaknya bagi mempertingkatkan kemudahan sukan di negeri ini.

“Cadangan itu sedang kami angkat untuk dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan akan dibina di Gua Musang. Kita tunggu berita baik ini dan berharap diluluskan,” katanya.

Beliau berkata fasiliti sukan di Kelantan menjadi tumpuan utama kementerian berikutan negeri ini akan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) edisi 2024.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This