KDN diseru pertimbang lebih banyak laluan pemeriksaan imigresen di lapangan terbang

KDN diseru pertimbang lebih banyak laluan pemeriksaan imigresen di lapangan terbang

KUCHING,. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mempertimbangkan lebih banyak laluan pemeriksaan imigresen di lapangan terbang antarabangsa.

Tiong berkata, bilangan laluan pemeriksaan imigresen di lapangan terbang antarabangsa perlu ditambah kepada enam berbanding hanya empat sahaja ketika ini.

“Saya telah mengemukakan cadangan ini kepada KDN untuk dipertimbangkan demi menampung aliran penumpang yang besar, termasuk di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2),” katanya menerusi catatan Facebook beliau, semalam.

Selain itu, menurut Ahli Parlimen Bintulu itu, pada masa ini terdapat 40 kaunter tetapi hanya 20 kaunter sahaja yang dibuka.

“Saya turut meminta pertimbangan KDN untuk membuka kesemua 40 kaunter tersebut bagi memendekkan masa proses pemeriksaan imigresen untuk jumlah penumpang yang ramai dan penerbangan yang besar.

“Isu kekerapan penerbangan masih belum pulih sepenuhnya, kini timbul pula isu kesesakan di kaunter pemeriksaan imigresen,” tegasnya.

Tiong berkata, ada juga beberapa penumpang yang mengadu mereka terkandas di lapangan terbang selama tiga jam.

Sehubungan itu katanya, kaunter berkenaan perlu ditambah untuk menambah baik perkhidmatan di pintu keluar masuk negara.

“Pada masa sama, saya juga menyeru jabatan dan agensi yang berkaitan untuk bersama-sama mencari penyelesaian penambahbaikan dan berusaha memendekkan masa ketika proses pemeriksaan ini.

“Kita harus sedar, sektor pelancongan merupakan kunci kepada pemulihan ekonomi negara, dan lapangan terbang merupakan lokasi ‘first impression’ yang akan dilalui oleh para pelancong apabila mereka tiba di negara ini,” katanya lagi.

Justeru katanya, penambahbaikan sistem dan proses terbabit merupakan satu keperluan mendesak.

Bukan itu sahaja, perkhidmatan dan piawaian berkaitan, kebersihan tandas dan sebagainya, turut sama perlu dipertingkatkan, ujarnya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )