Keadaan makroekonomi semasa dorong BNM kurangkan OPR – JP Morgan

Keadaan makroekonomi semasa dorong BNM kurangkan OPR – JP Morgan

KUALA LUMPUR,. Persekitaran makroekonomi semasa berikutan penularan COVID-19 di samping kelembapan ekonomi domestik menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus hari ini.

Ini adalah kali kedua BNM mengurangkan OPR pada tahun ini dalam usaha untuk menyediakan persekitaran monetari yang lebih akomodatif bagi menyokong jangkaan pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik dalam keadaan harga yang stabil.

J.P Morgan dalam nota penyelidikan hari ini berkata, penularan COVID-19 yang berpanjangan telah mengganggu aktiviti pengeluaran dan perjalanan di rantau ini; yang mendorong kepada kegiatan penghindaran risiko sehingga menyebabkan keadaan kewangan menjadi lebih ketat dan mendadak semula volatiliti pasaran kewangan.

“Risiko penurunan ke atas unjuran pertumbuhan global telah meningkat, khususnya dalam masa terdekat. Bagaimanapun, beberapa negara telah melaksanakan tindak balas dasar. Dengan jangkaan pelaksanaan langkah-langkah dasar, ia mungkin akan mengurangkan impak COVID-19 kepada ekonomi,” katanya.

Sambil mengakui bahawa pakej rangsangan ekonomi COVID -19 bernilai RM20 bilion yang diumumkan minggu lepas dapat memberikan rangsangan kepada ekonomi domestik, risiko penurunan kepada pertumbuhan akan terus melingkari memandangkan ia dijangka memberi impak kepada sektor berkaitan komoditi.

“Oleh itu, langkah dasar monetari hari ini yang seiring dengan unjuran kami, menyediakan persekitaran yang lebih akomodatif untuk menyokong pemulihan pertumbuhan bagi Malaysia pada tahun ini.”

Bank Negara juga sedia maklum bahawa pengunaan swasta yang menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, dijangka perlahan pada tahun ini dalam keadaan pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan yang sederhana.

Malah, pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai sebahagian daripada langkah fiskal yang diumumkan minggu lepas, mewujudkan ketidaktentuan dalam ekonomi yang menandakan bahawa isi rumah dijangka berjimat cermat berbanding membelanjakan wang ini.

Mengambil maklum daripada langkah-langkah dasar fiskal baru-baru ini, J.P Morgan berpendapat sokongan dasar monetari yang selanjutnya bagi ekonomi domestik dijangkakan dalam masa terdekat.

“Ketika barisan kabinet belum lagi diumumkan susulan pelantikan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelapan pada akhir minggu lepas, hala tuju yang lebih jelas dapat dilihat termasuk dasar fiskal yang lebih memberi sokongan.

“Dalam hal ini, kami bagaimanapun mengekalkan jangkaan penurunan kadar dasar yang selanjutnya pada suku kedua tahun ini, dan sedia maklum bahawa sekiranya dasar fiskal ditingkatkan secara material, maka monetari yang lebih akomodatif oleh bank pusat menjadi kurang terdesak,” katanya.

Mengenai masa depan, firma penyelidikan itu mengunjurkan ekonomi untuk tumbuh sederhana pada 4.3 peratus, disebabkan terutamanya penularan virus yang melembapkan sektor berkaitan khususnya sektor berkaitan pelancongan dan perkilangan.

Pada 2020, aktiviti sektor swasta dan sektor awam dijangka terus menyokong pertumbuhan, manakala perbelanjaan isi rumah diunjurkan berkembang pada kadar yang lebih perlahan dalam keadaan pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan yang sederhana.

Aktiviti pelaburan dijangka mencatatkan pemulihan yang sederhana, disokong oleh projek-projek sektor awam dan swasta yang baharu dan sedang dilaksanakan.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid yakin bahawa kemungkinan untuk OPR berpeluang mengalami penambahan adalah sentiasa ada.

“Namun, ini bergantung kepada prospek ekonomi yang wujud. Seperti yang kita tahu, kemunculan COVID-19 telah mengejutkan rantaian nilai global. Oleh itu, pengurangan monetari tambahan itu boleh membantu ekonomi untuk menghadapi kesan ini,”katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This