Kebakaran hutan musnahkan sempadan Kanada-AS, ratusan diarah berpindah

Kebakaran hutan musnahkan sempadan Kanada-AS, ratusan diarah berpindah

OTTAWA: Beratus-ratus orang di barat Kanada telah diarah berpindah berikutan kebakaran hutan luar kawalan yang merentasi sempadan Kanada-AS, lapor media Ahad. Daerah Serantau Okanagan-Similkameen dan bandar Osoyoos mengeluarkan perintah pengosongan Sabtu petang bagi 732 hartanah di dalam dan sekitar Osoyoos, 400 kilometer (km) timur Vancouver, menurut laporan.

Kebakaran hutan, yang berpunca dari negeri Washington barat laut AS, membakar kira-kira 4 km dari kawasan Osoyoos di pedalaman selatan British Columbia.

Di sebelah sempadan Kanada, kebakaran telah merebak sehingga 885 hektar pada pagi Ahad, manakala di sebelah AS kebakaran telah membakar lebih daripada 4,000 hektar, kata pegawai kebakaran hutan negeri Washington.

Pada pagi Ahad, lebih 2,000 hartanah di Osoyoos barat diletakkan dalam amaran berpindah.

Amaran pemindahan bermakna penduduk perlu bersedia untuk mengosongkan rumah mereka, manakala perintah pemindahan bermakna penduduk perlu keluar serta merta, kata laporan itu. Datuk Bandar Osoyoos Sue McKortoff menggesa penduduk dan perniagaan mengurangkan penggunaan air untuk menjimatkan sumber untuk usaha memadam kebakaran.

Pusat Bomba Hutan Antara Agensi Kanada berkata Ahad bahawa terdapat lebih 1,000 kebakaran hutan aktif di seluruh negara dengan lebih 600 daripadanya di luar kawalan. Setakat tahun ini, Kanada mencatatkan lebih 5,000 kebakaran hutan, yang telah memusnahkan kira-kira 126,000 km persegi tanah.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This