Kebenaran operasi restoran hingga 12 tengah malam, turut legakan peminat bola sepak

Kebenaran operasi restoran hingga 12 tengah malam, turut legakan peminat bola sepak

oleh : Amir Anuar

KOTA KINABALU: Kebenaran kerajaan untuk premis restoran dapat dibuka sehingga jam 12 tengah malam di negeri ini disambut dengan kelegaan peminat sukan bola sepak. Walaupun masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal, namun keadaan itu disifatkan lebih baik berbanding sekadar meluangkan masa di rumah.

Kelegaan itu dikongsikan Presiden Kelab Penyokong Arsenal Sabah atau dikenali Sabah Arsenal Supporters (SAS) Mohamed Sadik Mohamed Jaafar kepada Utusan Borneo. Menurut Sadik, sebagai penggemar sukan bola sepak yang sering meluangkan masa menonton aksi kelab kegemaran mereka, peluang berkumpul semula sudah lama dinanti.

“Kita bersyukur kerana kerajaan akhirnya memberikan kelonggaran kepada premis restoran untuk beroperasi sehingga tengah malam dan boleh membuka meja makan. “Kita memang menantikan langkah ini supaya dapat menonton bola sambil menikmati suasana sorakan bersama kawan-kawan yang berkongsi minat di premis sama,” katanya.

Beliau berharap peluang untuk kembali berkumpul beramai-ramai itu dimanfaatkan sebaik-baiknya peminat sukan tanpa mengabaikan SOP yang dikuatkuasakan kerajaan.

Mengulas lanjut, penjarakan fizikal semasa berkumpul mesti dipatuhi demi kebaikan semua termasuklah dalam usaha mengelak risiko jangkitan pandemik COVID-19.

-UtusanBorneo

CATEGORIES
Share This