Kebersamaan MAFI-MOSTI mampu hasil teknologi baharu perkukuh sekuriti makanan negara

Kebersamaan MAFI-MOSTI mampu hasil teknologi baharu perkukuh sekuriti makanan negara

KUALA KANGSAR,. Kebersamaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkaitan teknologi baharu, diperlukan bagi memperkukuh sekuriti makanan negara selain memastikan bekalan makanan terus mencukupi.

Menteri MAFI Datuk Seri Ronald Kiandee berkata penggunaan teknologi aplikasi dalam penghasilan makanan berasaskan pertanian dan agromakanan seperti Internet pelbagai benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI), kini semakin penting demi kelangsungan bekalan dan untuk manfaat rakyat Malaysia.

“Menerusi teknologi, walaupun ada ruang (tanah) yang kecil, tetapi pengeluaran masih dibuat melalui pendekatan teknologi terbaik, untuk kelangsungan dan penambahan bekalan sayuran dan buah-buahan. Ini semua dapat dipertingkatkan menerusi aplikasi teknologi.

“Kita yakin untuk bergerak ke pertanian moden menerusi sinergi antara kedua-dua kementerian selain penglibatkan kerajaan negeri dan pihak swasta, secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import.

“Kita perlu kurangkan bekalan import termasuk padi, buah-buahan dan sayuran dan sebaliknya memaksimakan ruang yang ada untuk kita eksport hasil kita ke negara lain,” katanya selepas melawat Projek Pasar Tani Kekal (PTK) Kuala Kangsar dan Pusat Pemasaran Agromakanan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Manong.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) merangkap Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Mastura Mohd Yazid, Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Razman Zakaria dan Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.

Jelas Ronald, pelbagai usaha dibuat kementerian dan agensi terbabit demi memastikan bekalan makanan negara mencukupi, tidak terjejas mahupun terganggu menerusi pertanian moden seperti menggunakan teknologi hidroponik.

Dalam pada itu, Saarani berkata kerajaan negeri bersedia di dalam kapasiti yang ada bagi untuk menambah pusat agromakanan di negeri ini selain di Manong, Kuala Kangsar ini untuk tujuan pertanian yang antara lain dapat menambah pendapatan penduduk setempat.

“Pertanian perlu kaedah dan teknologi baharu, tidak perlu luas. Yang penting ia berupaya mengeluarkan hasil untuk dipasarkan orang kampung. Ini juga rangkaian penting bagi persiapan kita sebagai hub bekalan makanan dan memastikan food security mencukupi.

“Kita ingin jadikan Perak sebagai pengeluar makanan terbesar. Saya yakin ini boleh dilakukan selepas perbincangan dengan pihak MAFI dan MOSTI. Ia boleh dijayakan kerana Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) ada membuat projek tanaman untuk agro muda (golongan muda dalam bidang sektor agromakanan),” jelasnya.

Sementara itu, Mastura berkata pusat ini telah memenuhi impian penduduk Kuala Kangsar sebagai hub pelbagai hasil pertanian yang memberi impak kepada masyarakat sekeliling khasnya anak muda yang ingi berkecimpung di dalam bidang pertanian.

Menerusi siaran media, Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA di Manong, Kuala Kangsar, satu-satunya di Perak, telah dinaik taraf di atas tanah berkeluasan empat ekar sebagai model perniagaan dan pusat rujukan pemasaran hasil pertanian berteknologi.

Pembangunan pusat ini secara langsung dapat memberi peluang dan pendedahan kepada golongan belia mengenai teknologi terkini di dalam sektor pertanian, sekali gus mengoptimumkan penggunaan tanah-tanah terbiar milik Kerajaan dengan mengaplikasikan konsep IoT, iaitu menggunakan kaedah sistem fertigasi, hidroponik dan akuaponik dalam satu kawasan.

Pusat ini juga mempunyai pelbagai fasiliti di bawah satu bumbung iaitu pusat latihan, pusat jualan & pemborongan, tapak pertanian, kafeteria dan medan penjaja, Medan Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) dan pertanian pintar (akuaponik & vertical farming), projek pertanian fertigasi.

Projek ini juga adalah manifestasi Kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar dan tidak dibangunkan milik Kerajaan Persekutuan dan tanah Rizab Melayu disewakan bagi projek pertanian atau perniagaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This