Kebun komersial skala besar dalam bangunan untuk gelandangan jana pendapatan

Kebun komersial skala besar dalam bangunan untuk gelandangan jana pendapatan

KUALA LUMPUR,. Kementerian Wilayah Persekutuan akan mewujudkan projek perkebunan berskala besar dalam bangunan (pertanian jitu) secara komersial bagi memberi peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada golongan gelandangan.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata projek yang bakal dilaksanakan di Putrajaya menjelang hujung tahun ini merupakan kesinambungan kepada projek kebun bandar ‘Hijrah Warrior’ yang sedang dilaksanakan di Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana di sini.

“Ia merupakan kaedah menanam secara teknologi moden dalam bangunan menggunakan konsep intensif dan pertanian jitu, pada skala komersial, kena ada pelabur,” katanya kepada pemberita pada program Santai Ramadan@ Anjung Kelana di sini semalam.

Beliau berkata inisiatif yang akan menawarkan pendapatan secara harian itu diharap akan memberi motivasi kepada golongan tersebut untuk terus memperbaiki kualiti kehidupan.

“Perkebunan ini (kebun bandar ‘Hijrah Warrior’) memakan masa untuk jana pendapatan, mereka mesti dapat pendapatan segera kerana apabila datang ke Kuala Lumpur, mereka ada sasaran tersendiri dan selalunya nak dapatkan wang.

“Kalau mereka rasa seperti bekerja macam buruh paksa dan perlu tunggu lama untuk dapat wang, mereka akan patah semangat,” katanya.

Annuar berkata pihaknya turut merancang beberapa model lain bagi membantu golongan tersebut meningkatkan taraf hidup antaranya berkaitan penyediaan makanan selain mengekalkan kerjasama dengan pihak swasta dalam menawarkan pekerjaan.

“Dalam menguruskan gelandangan, tak ada stereotaip atau satu sistem untuk semua, kita nak kena kaji kesesuaian mengikut individu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This