
Kedah bangkit atasi Felda United untuk lonjak ke tempat kedua
KUALA LUMPUR,. Kedah bangkit selepas terikat 1-1 untuk menewaskan Felda United FC 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam ini untuk melonjak ke tempat kedua carta kedudukan Liga Super.
Felda United mendahului menerusi tandukan kencang Muhammad Syahmi Zamri pada penghujung babak pertama, namun skuad Lang Merah berjaya mengesahkan kemenangan menerusi jaringan penyerang import dari Ivory Coast, Tchetche Kipre pada minit ke-48 dan Muhammad Hadin Azman pada minit ke-66.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang telah mengumpul 13 mata selepas tujuh perlawanan setakat ini, ketinggalan enam mata di belakang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengumpul 19 mata.
Sementara itu, Pahang turut meraih tiga mata penuh selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas pasukan tercorot carta, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Skuad Tok Gajah mendahului menerusi Ivan Carlos Franca Coelho pada minit ke-36 dan Mohamad Faisal Abdul Halim (73′), namun kesilapan Adam Michael Tull menampan masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-84, membantu PDRM mengurangkan defisit jaringan.
Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Petaling Jaya City FC (PJ City FC) gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri untuk ‘menjarakkan diri’ daripada zon penyingkiran apabila diikat 1-1 oleh pasukan di tempat ke-11, Sabah.
Dalam saingan Liga Premier, Pulau Pinang terus kekal meneraju carta kedudukan dengan 17 mata berdasarkan kelebihan jaringan selepas mengalahkan JDT II 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Skuad Harimau Kumbang bermula garang menerusi jaringan Muhamad Khairu Azrin Khazali seawal minit keempat sebelum pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Muhamad Feroz B. Baharudin pada minit ke-30, namun Endrick Dos Santos Parafita mengesahkan kemenangan pasukan pelawat itu pada minit ke-44.
Kuala Lumpur, yang turut mengutip 17 mata, terpaksa berpuas hati berada dikedudukan kedua walaupun berjaya membelasah Terengganu FC II 4-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, berdasarkan perbezaan jaringan.
Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, jaringan tunggal pemain meningkat naik, Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-45, membantu Kelantan meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak II.
Perlawanan lain menyaksikan Selangor 2 tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, manakala Kuching City FC mengatasi Sarawak United 2-1 di Stadium Negeri, Sarawak.
— BERNAMA