Kedah tidak ambil mudah aksi suku akhir

ALOR SETAR,. Selepas muncul juara Kumpulan A kempen Piala Malaysia, Kedah tekad menampilkan aksi konsisten dan tidak akan mengambil mudah lawannya pada peringkat suku akhir saingan berkenaan yang dijadual pada 24 Sept depan.

Pasukan PJ City FC dan PKNP FC yang akan berentap pada Jumaat ini, bakal mengisi slot sebagai naib juara Kumpulan B, dan menjadi lawan Kedah pada peringkat lapan pasukan terbaik dalam saingan Piala Malaysia itu.

Juara enam kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengungguli carta kedudukan Kumpulan B selepas mengutip 16 mata, dan tidak boleh dipintas pasukan di tempat kedua sama ada PJ City FC atau PKNP FC.

Justeru, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata pasukannya perlu mempamerkan prestasi terbaik pada aksi suku akhir kerana PJ City FC atau PKNP FC masing-masing memiliki kekuatan tersendiri.

“Pemain pun tahu tugas ini bukan mudah. Jadi pemain perlu beraksi sebaik mungkin dan tidak melakukan kesilapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Kedah menewaskan Negeri Sembilan 4-2 di Stadium Darul Aman di sini malam tadi, sekali gus muncul juara Kumpulan A.

Aidil Sharin berkata pasukannya mempunyai tempoh kira-kira seminggu untuk melakukan persiapan dan akan menganalisis corak permainan PJ City FC dan PKNP FC untuk menentukan taktikal yang akan digunakan dalam pertemuan suku akhir itu.

Mengulas mengenai prestasi pasukannya dalam perlawanan malam tadi, Aidil Sharin berpuas hati dengan kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan pemain dan berharap ia dapat dikekalkan pada perlawanan akan datang.

“Kredit harus diberi kepada pemain yang tidak putus asa serta berusaha keras, saya cukup gembira dengan sikap pemain dan komitmen mereka walaupun ada yang mengalami kecederaan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohamad Zaki Shaikh Ahmad berkata walaupun pasukannya gagal mendapat kemenangan yang diharapkan, beliau tetap memuji pemainnya kerana dapat menjaringkan dua gol dan memberi tentangan kepada Kedah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )