Kedutaan Malaysia di Phnom Penh Anjur ’Malam Raikan Malaysia Dengan Filem’

Kedutaan Malaysia di Phnom Penh Anjur ’Malam Raikan Malaysia Dengan Filem’

BANGKOK, 16 Sept — Kedutaan Malaysia di Phnom Penh, Kemboja menganjurkan Malam Raikan Malaysia Dengan Filem sebagai acara sambutan Hari Malaysia, semalam.

Majlis yang diadakan dengan kerjasama Westec Media Ltd, pengedar filem Malaysia di Kemboja itu menyaksikan filem ‘Sangkar’ yang dibintangi Zul Ariffin dan Remy Ishak, ditayangkan kepada hadirin di Pawagam Legend Premium di Pusat Membeli-belah Chip Mong Noro, Phnom Penh.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja Eldeen Husaini Mohd Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Westec Media Ltd, Michael Chai hadir pada sesi tayangan filem itu, bersama kira-kira 80 pegawai kedutaan dan diaspora Malaysia.

Eldeen berkata program itu menyediakan platform untuk rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di Kemboja, terutamanya di Phnom Penh untuk meraikan Hari Malaysia serta memupuk perpaduan dan semangat patriotisme.

“Tayangan filem ini juga dapat menjalin hubungan yang lebih rapat dan erat antara kedutaan dan rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut beliau tayangan filem itu secara langsung memberi sokongan kepada filem Malaysia dan pengedar filem Malaysia di Kemboja.

“Filem ini membawa mesej ‘perpaduan kita adalah kekuatan kita’,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This