Kegiatan perjudian dikesan guna kedai kopi sebagai pusat operasi – Mazlan

Kegiatan perjudian dikesan guna kedai kopi sebagai pusat operasi – Mazlan

KUALA LUMPUR, 2 Sept — Setelah premis perjudian diserbu dan bekalan elektrik dipotong, mereka kini beralih ke kedai kopi pula untuk beroperasi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata polis mengesan taktik baharu kegiatan perjudian dengan penganjur kegiatan itu menyamar sebagai pelanggan di kedai kopi sambil menggunakan peranti mudah alih untuk beroperasi, bagi menyukarkan kegiatan mereka dikesan.

“Penganjur kegiatan itu dipercayai beralih kepada kedai kopi kerana premis asal mereka telah dikenakan tindakan pemotongan elektrik yang banyak dilakukan polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak akhir-akhir ini.

“Mereka berbuat demikian kerana sedar jika mereka menyewa premis seperti dahulu, kita akan potong bekalan elektrik mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelupusan Barang Kes Perjudian Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di Balai Polis Alam Damai, Cheras di sini.

Beliau berkata penggunaan kedai kopi sebagai tempat berjudi juga akan memudahkan mereka melarikan diri jika ada serbuan.

Mazlan berkata setakat ini 51 premis yang menjadi pusat kegiatan perjudian telah dipotong bekalan elektrik sekitar bandaraya manakala 24 premis lagi turut akan dikenakan tindakan sama dalam masa terdekat.

Sementara itu di Gombak, polis menahan seorang lelaki kerana mengugut dan melakukan khianat terhadap kakak tirinya, dipercayai selepas kakak tirinya itu enggan meminjamkan motosikal kepadanya.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata suspek berusia 34 tahun yang mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah serta dadah itu ditahan di sebuah rumah di Taman Tasik Sri di sini tengah malam semalam susulan laporan yang dibuat oleh kakak tirinya.

Katanya dalam kejadian kira-kira pukul 5.00 petang Ahad lepas, suspek dikatakan hendak meminjam motosikal namun tidak diberikan, menyebabkan dia tidak berpuas hati lalu mengugut untuk membunuh kakak tirinya itu.

“Pada keesokan hari kira-kira pukul 4.00 petang, pengadu berusia 39 tahun itu mendapati kerusi, meja dan sinki di rumahnya dipecahkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This