Kehadiran dua pemain berpengalaman, senjata KL Thunders hadapi STL 2020

Kehadiran dua pemain berpengalaman, senjata KL Thunders hadapi STL 2020

KUALA LUMPUR,. Kehadiran dua pemain berpengalaman, Mohd Syahir Rosdi dan Mohd Azlan Alias dalam pasukan Kuala Lumpur Thunders (KL Thunders), dijangka memberi kelebihan kepada pasukan berkenaan melakar keputusan positif saingan Divisyen Premier Sepak Takraw League (STL) yang bermula, 18 Sept ini.

Ketua pasukan, Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi, bagaimanapun, berkata, beliau tidak mahu terlalu selesa dengan kehadiran dua bekas pemain pasukan Penang Black Panthers itu kerana pasukan lain juga dijangka memberi saingan sengit kepada mereka pada musim ini.

Mohd Syahir selaku tekong, merupakan bekas pemain kebangsaan, manakala Mohd Azlan yang beraksi di posisi apit kanan merupakan pemain kebangsaan.

“Gambaran untuk memenangi kejuaraan tu belum ada lagi kerana dalam permainan (sepak takraw) ada pelbagai kemungkinan yang tak boleh dijangka.

“Oleh itu, kami akan berikan yang terbaik pada musim ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi STL jenama Li Ning bagi musim 2020 yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Akramuddin Abd Aziz di sebuah pusat beli-belah, di sini hari ini.

Pandangan sama turut disuarakan kapten pasukan Perak Bison, Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi yang optimis pasukan berkenaan mampu mengekalkan kejuaraan Divisyen Premier yang dimenangi pada musim lalu menerusi penampilan beberapa muka baharu.

Pemain kebangsaan itu pada masa sama, turut melabelkan KL Thunders sebagai pencabar utama pasukan berkenaan untuk mempertahankan kejuaraan berdasarkan kehadiran beberapa pemain berpengalaman dalam pasukan tersebut.

10 pasukan bakal beraksi dalam saingan Divisyen Premier yang dijadualkan berlangsung mulai 18 Sept hingga 11 Okt iaitu, KL Thunders, Johor Tigris, Negeri Sembilan Antlers, ATM Guardians, PDRM Defenders, Selangor Pistons, Kelantan Warriors, Perak Bison, Penang Black Panthers dan Pahang Mammoth.

Terdahulu, saingan Divisyen Satu STL akan membuka tirai dari 8-13 Sept, dengan melibatkan penyertaan lapan pasukan iaitu Terengganu Turtles, MASUM-UPM Knights, Putrajaya Cyborg, Bomba Fighters, Perlis Vipers, Melaka Titans, PSM Mavericks dan Kedah Eagles.

Saingan kedua-dua divisyen berkenaan bakal diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton di Stadium Titiwangsa sebagai mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan pihak berkuasa.

Empat pasukan terbaik, masing-masing dari Divisyen Premier serta Divisyen Satu, layak beraksi dalam saingan Piala Juara-Juara (Champions Cup) yang akan diadakan di Iskandar Malaysia, Johor dari 23-29 Nov nanti.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This