Kejutan di kerusi panas DUN Melalap?

Kejutan di kerusi panas DUN Melalap?

Oleh Mohd Faizal Hassan dan Muhammad Faiz Baharin

TENOM,. Sebut sahaja Tenom, perkara pertama terlintas dalam fikiran ialah kopi.

Tenom yang terkenal sebagai ‘bandar kopi Sabah’ juga mempunyai tarikan pelancongan lain seperti pusat peranginan Rundum Highlands.

Terletak kira-kira 150 kilometer dari Kota Kinabalu, Tenom juga pernah menggemparkan negara apabila bekas Ketua Menteri dan Presiden Parti Bersatu Jelata Sabah (BERJAYA) Tan Sri Harris Salleh tumbang di kawasan itu kepada seorang yang langsung tidak terkenal, Kadoh Agundong (kini Datuk), pemimpin suku Murut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1985 dengan hanya 895 undi.

Parlimen Tenom kini mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) – Melalap dan Kemabong dengan jumlah 28,933 pengundi.

DUN Melalap merupakan antara 17 kerusi panas yang terlibat dalam pertembungan antara rakan sekutu membabitkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam PRN ke-16 pada Sabtu ini.

Teka-teki bertebaran di DUN Melalap, sama ada akan wujud kejutan seperti yang dibawa Kadoh apabila pertandingan enam penjuru pada PRN kali ini membariskan nama-nama besar seperti penyandangnya dari Warisan Datuk Peter Anthony yang akan ditentang penyandang kerusi DUN Kemabong, Jamawi Jaafar mewakili BN.

Turut memeriahkan kerusi panas ini ialah Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Radin Malleh, Apiang Sausun daripada PCS, Sazali Justi daripada USNO dan Masdin Tumas daripada LDP.

Untuk rekod, Radin merupakan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah sewaktu negeri itu dipimpin Tan Sri Musa Aman, memegang kawasan DUN tersebut sejak empat penggal sebelum tumbang kepada Peter pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dengan majoriti tipis, 293 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Sewaktu ditemui Bernama ketika melawat sebuah perkampungan di Ponontomon, kira-kira 20 kilometer dari pekan Tenom, Peter dilihat menyantuni penduduk kawasan tersebut di samping menggunakan van yang mempunyai skrin LCD, memaparkan maklumat mengenai kempennya.

“Kita tahu kekuatan pihak lawan. Tapi kita pun ada kekuatan iaitu fokus kepada permasalahan rakyat. Rata-rata penduduk Sabah lagi suka dan menyokong Sabah untuk negeri Sabah. Kerana itu kita berjaya mewujudkan pelbagai peluang meningkatkan ekonomi seperti kilang minyak sawit di Lahad Datu sebagai penghormatan untuk orang Murut selain keikhlasan pimpinan Warisan dalam menyelesaikan hal tanah,” katanya.

Peter yang juga Naib Presiden Warisan berkata walaupun baru dua tahun dipilih menjadi wakil rakyat, namun banyak permasalahan telah diselesaikannya dan diharap perkara itu diambil kira pengundi sewaktu mengundi nanti.

Sementara itu, Jamawi dilihat menyantuni para peniaga dan orang ramai di Tamu Tenom, seolah-olah sudah lama mengenali mereka.

Bekas pegawai penyelidik pertanian itu berkata pendekatan secara peribadi penting bagi beliau menjelaskan kepada pengundi mengenai pelbagai misi yang dirancang dalam bidang pertanian, pelancongan dan lain-lain.

“Pengalaman saya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tenom dan ADUN di Kemabong sebelum ini, boleh dinilai rakyat kerana saya sememangnya bekerja untuk rakyat selama ini. Saya perlukan kepercayaan pengundi untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab jika dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan Melalap,” katanya.

Ketika tumpuan terarah kepada nama-nama besar, kejutan mungkin juga berlaku di kawasan DUN ini yang mempunyai majoriti pengundi dari suku kaum Murut apabila Apaing, penyanyi terkenal lagu suku kaum Murut turut bertanding.

Apiang, yang terkenal dengan lagu Gelas Jatuh Lantai dan lagu bahasa Murut ‘Masaga Kopoh Ki Raki’ (Masihkah Kau Mencintai Diriku) itu, akan menggunakan pengalamannya untuk berinteraksi lebih baik dalam mendekati pengundi selain menawarkan harapan baru memperjuangkan nasib suku kaum Murut serta pengundi-pengundi lain di kawasan itu.

“Saya rasa tidak mustahil akan berulang kisah ‘giant killer’ (mengalahkan nama besar) di DUN Melalap seperti dibawakan Kadoh Agundong. Saya cuma harap diberi mandat untuk berkhidmat di kawasan ini dengan menambah baik kemudahan asas terutama dari segi bekalan air dan elektrik yang gagal ditangani dengan baik pemimpin terdahulu,” katanya.

Kadoh, yang pernah menggalas jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Sabah, ketika ditemui Bernama sempat menitipkan pesan kepada sesiapa sahaja yang bertanding di kawasan itu supaya bekerja keras kerana peluang sentiasa terbuka selain menjaga kesihatan dan cukup tidur sepanjang tempoh berkempen.

Mengulas lanjut, penganalisis politik Sabah Dr Syahruddin Awg Ahmad berkata Apiang dilihat mempunyai kelebihan dan berupaya memberi kejutan sekiranya beliau terus mengutarakan isu-isu kaum Murut dalam kempennya kerana masih ada isu-isu yang belum berjaya ditangani kerajaan sebelum ini.

Pensyarah Kanan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah itu berkata kejutan mungkin berlaku dalam pertarungan sengit kerana membariskan calon-calon hebat sekali gus menyukarkan penyandangnya mempertahankan kerusi tersebut.

Kerusi panas lain – melibatkan 16 DUN ialah Bengkoka, Telupid, Lumadan, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Kapayan, Karamunting, Tambunan, Sook, Bingkor, Moyog, Tulid, Paginatan, Liawan, dan Tanjung Aru.

SPR menetapkan 26 Sept sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 22 Sept.

Sejumlah 1.12 juta pengundi layak memilih pada PRN ke-16 ini yang melibatkan 73 DUN.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This