Kekal aktif dengan ‘Footy’, bola sepak norma baharu

Kekal aktif dengan ‘Footy’, bola sepak norma baharu

PUTRAJAYA,. Peminat bola sepak kini boleh bermain dengan cara yang selamat semasa pandemik COVID-19 dengan gaya permainan baharu tanpa sentuhan fizikal, dikenali sebagai Footy.

Diperkenalkan oleh Ken Barnes Football Malaysia, Footy dibangunkan kerana menyedari keperluan individu terutama peminat bola sepak untuk kekal aktif dan cergas dalam norma baharu serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pegawai Operasi Ken Barnes Football Malaysia Subramaniam Palandaram berkata, Footy diilhamkan semasa pandemik COVID-19 ketika golongan belia bergelut untuk melakukan aktiviti sukan terutamanya bola sepak.

“Oleh itu kami memutuskan untuk mencipta bola sepak khas tanpa sentuhan fizikal yang dapat membantu golongan belia kita untuk bermain secara selamat semasa pandemik ini. Kelebihan Footy ia adalah selamat, tiada sentuhan badan dan risikonya adalah terlalu kecil atau tidak berpeluang mendapat jangkitan COVID-19,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Subramaniam berkata, beliau mencipta Footy apabila menyedari pandemik itu telah mengubah gaya hidup dalam aktiviti sukan sepenuhnya dengan banyak sekatan dikenakan menyebabkan sukar untuk bermain atau mengambil bahagian.

“Dengan begitu banyak SOP dikenakan kami rasakan perlu mempunyai permainan yang senang dimain dan mematuhi peraturan penjarakan fizikal,” katanya.

Subramaniam berkata, Footy dicipta di Malaysia dan adalah yang pertama seumpamanya di dunia dan ia seharusnya dipromosikan di seluruh negara untuk menawarkan platform alternatif kepada orang ramai untuk terus kekal cergas dari segi fizikal dan mental, pada masa yang mencabar ini.

“Kami belum lagi memperkenalkannya di luar Malaysia tetapi kami teruja untuk pergi ke negara jiran sebaik sahaja sekatan perjalanan dilonggarkan untuk mempromosikan sukan ini sebagai norma baharu,” katanya.

Dalam satu pertandingan Footy yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya antara IPD Putrajaya dan Kelab Media Putrajaya, Harry Salzman Abu Bakar yang mewakili Kelab Media Putrajaya begitu teruja kerana ia merupakan kali pertama mengenali sukan tersebut.

“Memang tidak pernah tahu ada sukan bola sepak jarak fizikal. Amat menarik kerana sukan ini sesuai sekali terutama dalam keadaan norma baharu. Ia membolehkan masyarakat bersukan tanpa halangan atau risau dengan risiko penularan COVID-19. Bola sepak tradisional ada bersentuhan tetapi ini tiada sentuhan dan kedudukan setiap pemain ada jarak,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )