Kekejaman Zionis: iKAF hantar 15 lori, trak bantuan ke sempadan Rafah

Kekejaman Zionis: iKAF hantar 15 lori, trak bantuan ke sempadan Rafah

KUALA LUMPUR: Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa (iKAF) dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) menghantar 15 lori dan trak bantuan kemanusiaan ke sempadan Rafah hari ini bagi membantu meringankan beban rakyat Palestin terjejas akibat perang di Gaza.

Lori dan trak bantuan itu, yang dihantar melalui Misi Kemanusiaan Insani 4 Palestin (i4P) iKAF membawa bantuan kecemasan termasuk 30 tan air minuman, 5,000 selimut tebal serta 1,000 tilam.
Kumpulan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam satu kenyataan memaklumkan, Pengerusinya, Datuk Fathul Bari Mat Jahya turut memeriksa barang-barang bantuan tersebut, yang dihantar dari Kaherah ke Gudang ERC di Ismailia, Mesir sebelum dihantar ke sempadan Rafah.

“Kami ambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan Mesir, khususnya ERC iaitu badan berautoriti untuk membawa apa jua sumbangan sampai ke Gaza, insya-Allah.

“Kita berharap dipermudahkan segala urusan dan perjalanan agar saudara-saudara kita di Gaza akan dapat bantuan ini,” katanya dalam kenyataan tersebut pada Ahad. Selain itu, iKAF menambah, pasukan sukarelawan i4P yang tiba di Kaherah sejak Isnin lalu turut menghantar bantuan ubat-ubatan ke Gaza.

Terdahulu, sukarelawan i4P mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif ERC, Dr Ramy El Nazer dan wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin sebelum memutuskan jenis dan jumlah bantuan kecemasan untuk disalurkan ke Gaza.

Gaza kini dikepung dan diserang rejim Zionis Israel, yang menyaksikan 2.3 juta penduduknya dalam keadaan kritikal dan kebuluran ketika gencatan senjata masih belum dicapai sejak perang bermula 7 Oktober lalu.

Media antarabangsa melaporkan, angka korban rakyat Palestin di Gaza meningkat lebih 12,000 orang dengan 5,000 daripadanya adalah kanak-kanak.

-Agensi

CATEGORIES
Share This