Kekurangan bekalan telur di Johor kerana pasaran luar, eksport

Kekurangan bekalan telur di Johor kerana pasaran luar, eksport

ISKANDAR PUTERI,. Kekurangan bekalan telur ayam dalam pasaran di negeri ini disifatkan belum mencapai tahap kritikal sebaliknya keadaan itu disebabkan peningkatan permintaan di Melaka dan Negeri Sembilan serta eksport ke Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata Johor adalah antara pengeluar telur terbesar di negara ini.

“Isu telur di Johor kita sebenarnya tidak menghadapi kekurangan kritikal. Bekalan memang kurang tetapi tidak kritikal sebab Johor merupakan antara pengeluar telur terbesar juga (dalam negara).

“Cuma kita maklum kebanyakan dieksport ke Singapura dan dipasarkan ke negeri lain seperti Melaka dan Negeri Sembilan, sebab itu nampak kekurangan. Tetapi dari segi pengeluaran, tidaklah berkurangan, cuma permintaan lebih sebab perlu juga penuhi eksport,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap itu berkata Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan usahawan tani memaklumkan bekalan makanan melibatkan hasil laut dan tanaman mencukupi walaupun berlaku pengurangan kutipan hasil khususnya akibat musim tengkujuh bulan lepas.

“Berdasarkan maklumat, memang terdapat kekurangan pendaratan ikan disebabkan beberapa faktor seperti nelayan kurang turun ke laut, tetapi mengikut rekod permintaan musim tengkujuh lepas, bekalan sedia ada mencukupi.

“Situasi sama turut melibatkan hasil pertanian seperti sayur-sayuran, kerana ada beberapa kawasan penanaman terjejas akibat hujan lebat, namun tidak menjejaskan permintaan bekalan ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zahari berkata pihaknya sedang mengatur pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu bagi membincangkan isu-isu berkaitan pertanian di Johor dalam masa terdekat.

“Saya sedang merancang pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menyatakan hala tuju pertanian kerajaan Johor kerana bidang pertanian merupakan antara sektor eksport utama negeri.

“Johor juga perlu kerjasama pusat bagi menjayakan pelbagai inisiatif yang telah dirancang seperti agenda makanan Johor dan juga lembah lada hitam. Jadi kami berharap pertemuan itu dapat digunakan sebaiknya untuk kesejahteraan dan keterjaminan bekalan makanan bukan sahaja untuk Johor, tetapi juga Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This