Kekurangan penyertaan golongan muda punca KRT tidak aktif – Wan Ahmad Fayhsal

Kekurangan penyertaan golongan muda punca KRT tidak aktif – Wan Ahmad Fayhsal

BAGAN SERAI,. Kementerian Perpaduan Negara mengenal pasti punca 934 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) tidak aktif adalah disebabkan kurangnya penyertaan golongan muda.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata hal ini kerana KRT sinonim dengan golongan berpencen dan golongan muda menjauhi sistem KRT.

“Saya rasa kita perlu semak semula punca KRT tidak aktif, mungkin kurang disertai golongan muda.

“Yang saya pasti, kepimpinan Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique menetapkan mana-mana KRT yang tidak aktif dan tidak hantar laporan tidak akan mendapat peruntukan RM6,000 setahun,” katanya pada sidang media Jamuan Aidilfitri di Kampung Tersusun Jalan Gula, Simpang Empat Semanggol dekat sini pada Sabtu.

Beliau diminta mengulas isu KRT yang tidak aktif di seluruh negara.

Pada 25 Mac lepas, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata sebanyak 934 KRT di seluruh negara dikesan kurang aktif sekali gus berisiko tidak mendapat manfaat peruntukan berjumlah RM5.6 juta.

Halimah berkata angka itu adalah daripada 8,674 KRT yang menjadi jentera perpaduan di bawah kementerian tersebut di seluruh negara untuk mendapat peruntukan keseluruhan RM50 juta yang diumumkan sebelum ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata pihaknya akan berkolaborasi dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk membolehkan golongan belia menganggotai KRT.

“Kita hendak menstruktur dan meremajakan semula KRT agar menjadi segar dan aktif di lapangan dengan pembabitan golongan muda.

“Dulu kita mempunyai jiran muda, sekarang kita mewujudkan sayap kepimpinan belia supaya anak muda dan persatuan belia bergerak secara bersama dengan KRT,” katanya.

Beliau berkata di bandar, KRT dan persatuan belia bergerak bersama-sama seperti mengadakan program tanggungjawab sosial korporat dan pertanian bandar agar golongan muda bergerak aktif serta cergas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This