Keluar album bantu cari dana pusat tahfiz

IPOH,. Pusat Tahfiz Al-Ulya di sini hari ini melancarkan sebuah album mini ‘Bismillah’ sebagai inisiatif pencarian dana bagi menampung keperluan tahfiz berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tahfiz Al-Ulya, Azhar Latif berkata album yang mengandungi lima lagu itu dihasilkannya sendiri bersama beberapa rakan.

“Syukur kepada Allah kerana album yang mengambil masa selama dua tahun ini berjaya dihasilkan dengan bantuan pemuzik seruling Mohardiman dan pemain gitar Along Exist.

Saya berharap agar album ini mendapat sokongan daripada semua pihak dan tunjuk ajar memandangkan saya sendiri masih baru di dalam industri muzik tanah air,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Album Mini ‘Bismillah’ di sini hari ini.

Majlis dilancarkan Tokoh Kartunis Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat.

Azhar berkata lagu-lagu yang dihasilkan antaranya merupakan luahan hati beliau sebagai bapa kepada anak autisme untuk menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah selain terdapat lagu-lagu yang memupuk perasaan cintakan alam sekeliling dan nasihat kepada golongan muda supaya tidak mudah berputus asa.

Orang ramai boleh memperoleh sebanyak 300 set yang dikeluarkan bagi pengeluaran pertama album mini itu.

Katanya penjualan album mini itu diharapkan dapat membantu keperluan pusat tahfiz itu yang kekurangan dana bagi menampung penyediaan keperluan pelajar, penyelenggaraan pusat tahfiz dan bayaran gaji guru.

“Pendapatan utama pusat tahfiz ini adalah yuran bulanan yang dibayar ibu bapa kepada 54 pelajar lelaki dan enam pelajar perempuan di sini yang mana masih tidak mencukupi untuk menanggung kos bulanan urusan pembelajaran di sini,” katanya.

Sesiapa yang berminat untuk membeli album mini Bismillah untuk menyumbang kepada dana pusat tahfiz ini boleh mendapatkan maklumat di laman sosial facebook Tahfiz Al-Ulya atau menghubungi talian 017-4819629.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )