Keluarga Ambani bakal langsungkan majlis perkahwinan ‘Crazy Rich Asians’ sebenar!

Keluarga Ambani bakal langsungkan majlis perkahwinan ‘Crazy Rich Asians’ sebenar!

NEW DELHI: Pada Mac lalu, lelaki paling kaya di Asia, Mukesh Ambani menganjurkan pesta besar-besaran sempena mendekati tarikh perkahwinan anak lelakinya. Keraian itu berlangsung selama tiga hari dengan kehadiran sejumlah 1,200 tetamu.

Selain bekas para pemimpin dunia, taikun gergasi teknologi dan megastar Bollywood, majlis itu turut diserikan dengan persembahan oleh penyanyi antarabangsa, Rihanna.
AP melaporkan, itu hanya permulaan dari sambutan mewah pra-perkahwinan selama sebulan yang telah menjadi tajuk berita dan juga ‘kegilaan’ di media sosial.

Pada Mei, keluarga berpengaruh itu mengikuti pelayaran tiga hari dari Itali ke Perancis, dengan dihiburkan persembahan DJ ternama David Guetta, selain penyanyi Katy Perry serta Pitbull.
Akhirnya, minggu depan adalah hari besar yang dinanti-nantikan, apabila Anant Ambani, 29, akan disatukan dengan teman wanitanya, Radhika Merchant, dalam sebuah majlis yang dilabel sebagai ‘wedding of the year’.

Kenapa kaya sangat?

Bapa kepada pengantin lelaki ialah Mukesh Ambani, 66, yang kini merupakan orang kesembilan terkaya di dunia dengan kekayaan bernilai AS$116 bilion, menurut Forbes. Beliau juga merupakan orang paling kaya di Asia.

Peneraju syarikat konglomerat Reliance Industries itu mencatat penghasilan tahunan lebih AS$100 bilion, terutamanya dalam sektor petrokimia, minyak dan gas, hingga ke telekom dan peruncitan.
Menurut laporan Agensi, pengkritik keluarga Ambani menyatakan, kekayaan luar biasa itu berkembang kerana sebahagian besarnya kerana imbalan hubungan politik semasa kerajaan Kongres pada tahun 1970-an dan 80-an, khususnya di bawah pentadbiran Perdana Menteri Narendra Modi selepas 2014.

Mukesh telah mewariskan bisnes dan kekayaannya kepada dua anak lelaki dan seorang anak perempuannya. Anak lelaki sulung, Akash Ambani, kini menjadi pengerusi Reliance Jio iaitu syarikat telekom; anak perempuannya, Isha, mengandalikan syarikat peruncitan; manakala anak bongsu, Anant, sedang mengasah diri dalam bisnes berkaitan tenaga.

Semewah mana majlis perkahwinan?

Majlis perkahwinan itu bakal diadakan pada 12 Julai nanti, diikuti dengan resepsi utama pada 14 Julai. Sambutan itu dijangka dilangsungkan di dua lokasi iaitu Jio World Convention Centre di Mumbai (milik keluarga Ambani), dan juga di kediaman keluarga.

Tarikh yang dipilih difahamkan diambil berdasarkan carta tarikh kelahiran kedua-dua bakal mempelai mengikut adat Hindu. Bakal berlangsung mengikut keperincian tradisi, majlis itu akan diraikan selama berhari-hari dengan pengisian acara dan ritual kepercayaan mereka.

Pada Jumaat lalu, media sosial di India dihangatkan dengan suasana acara ‘sangeet’ iaitu acara keluarga pengantin lelaki dan perempuan mempersembahkan tarian kepada para tetamu mereka.
Acara itu turut diserikan dengan penampilan bintang Bollywood seperti Alia Bhatt, Ranveer Singh dan Salman Khan, selain Justin Bieber, yang diterbangkan ke Mumbai.

Tidak ketinggalan, pada minggu lalu keluarga Ambani juga menganjurkan majlis perkahwinan beramai-ramai bagi lebih 50 pasangan pengantin yang kurang berkemampuan, sebagai sebahagian daripada sambutan pra-perkahwinan.

Pesta mewah keluarga Ambani nanti, menjelang acara kemuncak, dijangka bakal dihadiri oleh lebih ramai selebriti, bilionair dan pemimpin dunia. Mac lalu, ketika pesta pra-perkahwinan sahaja, tetamu ternama seperti Bill Gates, Mark Zuckerberg, bekas pemimpin Kanada dan Qatar, serta bintang Bollywood seperti Shah Rukh Khan dan Deepika Padukone turut hadir.

-Agensi

CATEGORIES
Share This