
Kemasukan pelabur runcit tidak cetus gelembung harga saham – Bursa Malaysia
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia Bhd menolak kemungkinan berlaku gelembung ekuiti meskipun pelabur runcit kelihatan bersemangat memasuki pasaran saham berikutan kenaikan baru-baru ini.
Pengendali bursa saham itu berkata ciri-ciri tipikal gelembung sebelum jatuh menjunam termasuklah aliran masuk berpusu-pusu tanpa mengambil kira penilaian, keyakinan tinggi tentang keuntungan masa depan, penerbitan saham yang besar oleh syarikat baharu dan momentum harga yang tidak terkawal.
“Ciri-ciri ini nampaknya tidak ada dalam pasaran ketika ini,” kata Bursa Malaysia baru-baru ini.
Memandangkan kenaikan jumlah dagangan di Bursa Malaysia baru-baru ini yang melonjak ke tahap tertingginya sebanyak 27.8 bilion pada 11 Ogos, 2020, beberapa penganalisis memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya ‘ledakan gelembung pasaran’ di tengah-tengah lantunan semula petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).
Mengenai penyertaan tinggi peserta runcit itu akan membawa kepada potensi pasaran saham menjunam seperti apa yang berlaku di China pada 2015? Bursa Malaysia menyanggah keraguan itu.
Ia menjelaskan bahawa apa yang berlaku di China itu ekoran beberapa faktor tetapi terutamanya disebabkan oleh pelabur melabur secara besar-besaran dalam instrumen pelaburan menggunakan dana dipinjam yang seterusnya meningkatkan pasaran.
“Penurunan itu adalah susulan usaha pihak berkuasa China untuk mengekang spekulasi instrumen pelaburan secara leveraj,” kata pengendali bursa itu.
Memetik satu kaji selidik yang dijalankan ke atas pelabur runcit Malaysia baru-baru ini oleh pemain pasaran utama, Bursa Malaysia berkata ia mendapati 37 peratus diniagakan jangka pendek (dalam masa sebulan) dengan tahap tertentu pulangan dijangkakan.
“Ini menunjukkan mereka menjalankan dagangan aktif (memantau pegangan) dengan sikap ragu-ragu dalam persekitaran semasa,” kata syarikat itu sambil menambah dinamik dagangan yang diperhatikan menunjukkan ke arah reaksi oportunis dan belian saham berharga rendah apabila saham jatuh ke paras terendahnya pada permulaan tahun yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Selain itu, Bursa Malaysia berkata pasaran tempatan dilihat didagangkan pada penilaian yang wajar.
“Walaupun harga semasa terhadap paras pendapatan adalah 20 kali melebihi purata jangka panjang berikutan unjuran pendapatan yang optimis, FBM KLCI diniagakan pada paras 1.67 kali nisbah harga berbanding nilai buku iaitu lebih rendah dari segi purata lima hingga 10 tahun.
“Malah, FBM KLCI pada masa ini hanya meningkat sedikit berbanding Purata Pergerakan Mudah (SMA) 50 hari,” katanya.
Menurut pengendali bursa itu, lonjakan penyertaan runcit itu juga tidak hanya terhad di Malaysia kerana turut dialami negara-negara anggota ASEAN yang menyaksikan kenaikan dagangan runcit di pasaran masing-masing.
Ini termasuk Bursa Saham Thailand (SET) dengan peserta runcitnya meningkat kepada 43.59 peratus setakat Julai 2020 daripada 33.72 peratus bagi tahun penuh 2019.
Di Indonesia, pelabur runcit Bursa Saham Indonesia (IDX) melonjak kepada 62 peratus bagi tempoh Januari hingga 28 Julai, 2020 berbanding 55.71 peratus pada 2019.
Mengulas keadaan itu, Ketua Penyelidikan Malacca Securities Sdn Bhd, Loui Low, berkata paras penyertaan peserta runcit ketika ini disifatkan sebagai baik selagi mereka menyedari risiko terbabit dalam pasaran saham.
“Sudah pasti ini boleh dianggap sebagai detik menggembirakan untuk peruncit dan pasaran berkemungkinan besar perlu ‘berehat’ seketika atau menjalani tempoh konsolidasi bagi membolehkan aliran peningkatan itu berterusan.
“Bagi kami, keadaan ini masih baik selagi mereka (peruncit) sedar mengenai risiko-risiko yang ada dalam pasaran saham,” katanya.
Walaupun terdapat lebih banyak mudah tunai di pasaran saham susulan pelaksanaan program dan pakej rangsangan seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Bursa Malaysia sebaliknya menepis kebimbangan mengenai margin perdagangan di negara ini yang pada masa ini di paras baik.
“Di Malaysia, margin pembiayaan itu masih belum dimanfaatkan secara ketara oleh peruncit untuk melabur dalam pasaran.
“Malah, paras margin pembiayaan setakat Julai 2020 adalah kira-kira 10 peratus lebih rendah berbanding 2019 yang menunjukkan bahawa pelabur menggunakan dana sendiri untuk melabur,” katanya.
Bagaimanapun, Low berkata isu dagangan margin mungkin menjadi satu lagi kebimbangan, memandangkan ia boleh menyuntik lebih banyak mudah tunai ke dalam pasaran saham dan menaikkan harga saham melebihi asas syarikat.
“Ia mungkin tidak menunjukkan asas semasa syarikat.
“Ini hanya mod spekulatif untuk pasaran saham sekiranya peserta pasaran ‘mengejar’ harga saham dan mengabaikan butiran terperinci syarikat berkenaan,” katanya.
Dari segi kadar sumbangan runcit tempatan kepada jumlah dagangan harian purata pergerakan mudah (SMADV), Bursa Malaysia berkata ia berada pada 35 peratus bagi tempoh Januari hingga Julai 2020, agak rendah berbanding dengan 43 peratus pada 1997.
“Ini kerana kuantum pelabur institusi (ketika itu) adalah lebih kecil berbanding dengan kadar yang kita saksikan hari ini,” kata syarikat itu.
Ia berkata kini pelabur runcit secara amnya lebih bijak berbanding ketika sedekad lepas susulan wujudnya begitu banyak maklumat yang tersedia untuk mereka di samping pelabur runcit pada masa ini juga aktif serta berminat mempelajari bidang pelaburan.
Menurut bursa, Bursa Marketplace menerima lebih 745,000 pengguna berdaftar sejak diwujudkan pada 2014, dengan 90 peratus pendaftaran baharu di platform ini dicatatkan dalam tempoh tiga tahun lalu.
Platform ‘Mirror, Learn & Trade’ (MLT) turut mendaftarkan lebih 28,000 pengguna sejak dilancarkan tahun lepas, kata Bursa Malaysia.
Ia bertujuan menyediakan platform bagi pelabur berpotensi dan sedia ada mempelajari dan membangunkan pengetahuan serta strategi pelaburan masing-masing untuk melabur dalam pasaran saham.
“Pelabur juga didapati lebih berhemat berbanding sebelum ini selain melabur menggunakan dana mereka sendiri berbanding menggunakan pembiayaan margin.
“Pertumbuhan dana dagangan bursa (ETF) juga merupakan satu petanda bahawa pelabur berhasrat untuk menyertai pasaran ekuiti melalui produk ekuiti yang selamat,” menurutnya.
Untuk mengurangkan potensi aktiviti spekulatif yang berlebihan dalam pasaran, Bursa Malaysia telah menyediakan infrastruktur, peraturan, proses dan mekanisme yang perlu bagi menjamin pasaran terus berfungsi dengan cara yang adil dan teratur.
“Kami terus memantau rapat perkembangan di peringkat tempatan serta serantau dan kami juga akan menilai langkah kawalan kami untuk menyokong pasaran yang tersusun dan saksama,” katanya.
Selain itu, pendekatan yang berhemat juga telah diambil dalam menyediakan kestabilan pasaran semasa persekitaran pasaran yang tidak menentu berikutan pandemik COVID-19 yang masih berterusan.
“Langkah-langkah pengurusan pasaran seperti pemutus litar, had harga statik dan dinamik disediakan dan diketahui oleh peserta bagi menguruskan ketidakstabilan yang berlebihan,” katanya.
Kesimpulannya, pengendali bursa berkenaan telah memperkenalkan beberapa langkah awal untuk mengurangkan aktiviti spekulatif yang keterlaluan termasuk penggantungan sementara jualan singkat sehingga 31 Disember 2020, di samping itu, pada 10 Julai 2020, ia juga mengumumkan semakan sementara pengurusan pasaran dan mekanisme kawalan yang sedia ada seperti had dinamik dan statik, serta pemutus litar.
“Kami juga menjalankan pengawasan dan analisis masa nyata membabitkan semua aktiviti perdagangan untuk mengesan aktiviti perdagangan yang tidak teratur dan tidak terkawal,” katanya.
– Bernama