Kemenangan berganda untuk PLUS dan ELITE, diiktiraf lebuh raya sistem tertutup terbaik

KUALA LUMPUR,. PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dinobatkan sebagai lebuh raya sistem tertutup berprestasi terbaik dari segi keselamatan dan keselesaan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail dalam satu kenyataan semalam berkata kemenangan itu adalah bukti pengorbanan serta kerja keras pasukan PLUS dan lebih bermakna apabila Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) di bawah PLUS juga berada di tempat kedua di bawah kategori yang sama.

“Kedudukan tempat pertama tambah lebih bermakna kerana kami telah berusaha dengan tekun setiap masa semasa Perintah Kawalan Pergerakan bagi memastikan lebuh raya kami selamat untuk semua pelanggan setiap masa,” katanya.

Majlis penyampaian Sijil Penarafan MyExpressway MIROS telah diadakan di Bangi pada Selasa sempena upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) MIROS bersama 13 rakan strategik keselamatan jalan raya bagi meningkatkan standard keselamatan jalan raya di Malaysia, Indonesia dan India.

Lebuh raya sistem tertutup merupakan sistem yang memerlukan pengguna menyentuh atau mengambil tiket transit / kad apabila memasuki lebuh raya dan ‘sentuh keluar’ atau memulangkan tiket transit / kad semasa keluar dengan kadar tol berdasarkan kelas kenderaan serta jarak yang dilalui.

Lebuh raya lain yang mendapat pengiktirafan MIROS termasuk Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Pantai-Timur 1 (LPT1) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) yang masing-masing berada pada kedudukan ketiga, keempat dan kelima bagi kategori lebuh raya berprestasi terbaik.

Sementara itu, Ketua Pengarah MIROS Ir Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata PLUS berhak mendapat kemenangan tersebut kerana telah melabur secara sinergi dalam tenaga kerja dan peralatan lebuh raya untuk memberikan keselesaan dan keselamatan optimum kepada pelanggan lebuh raya.

“Lebuh raya berprestasi terbaik adalah berdasarkan indeks kematian yang rendah serta reka bentuk persekitaran dan operasi trafik yang optimum daripada aspek keselamatan jalan raya. Lebuh raya pada kedudukan teratas diiktiraf kerana berpotensi mengurangkan kadar kemalangan maut dan kecederaan parah di lebuh raya,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )