Kemenangan ke atas UAE bukan jaminan – Nishino

Kemenangan ke atas UAE bukan jaminan – Nishino

KUALA LUMPUR,. Kejayaan Thailand menundukkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur kekuatan Thailand dalam pertemuan dengan Malaysia pada saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Jurulatih Thailand Akira Nishino berkata beliau sentiasa menuntut tumpuan penuh para pemain dalam usaha membaiki persembahan pada setiap perlawanan yang diharungi, tanpa mengira siapa pasukan lawan yang dihadapi.

Walaupun sehingga kini sudah berjaya membuatkan pasukan itu mempamerkan persembahan mantap sehingga kini, katanya beliau tetap bersemangat untuk menyaksikan pasukan itu meraih keputusan positif bagi meluaskan pengaruh mereka dalam arena bola sepak, selepas berjaya menundukkan UAE dan Indonesia sebelum ini.

“Untuk melayakkan diri ke pusingan berikutnya, kita perlu hadapi lawan satu persatu, mesti menang dalam semua perlawanan,” katanya pada persidangan media pra pelawanan di Stadium Bukit Jalil di sini hari ini.

“Tidak kira sama ada Thailand menang keatas UAE, atau Malaysia kalah kepada UAE, apa yang saya mahukan adalah semua pemain sentiasa fokus terhadap setiap perlawanan yang dihadapi, dan membuahkan hasil yang baik,” tambahnya.

Selepas tiga perlawanan, Thailand ketika ini menerajui carta Kumpulan G berkongsi mata dengan Vietnam, manakala Malaysia berada di tempat keempat dengan tiga mata.

Sementara itu, ketua pasukan Thailand Siwarak Tedsungnoen menyatakan rasa gembira dapat bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil walaupun sedar ia akan dibanjiri penyokong tuan rumah.

“Saya amat gembira, terharu dan bangga untuk bermain di stadium hebat ini, dan saya lihat semua pemain memang sudah bertekad untuk melakukan yang terbaik dalam mewakili negara pada perlawanan esok,” katanya.

Thailand pernah diketepikan Malaysia dalam saingan separuh akhir Kejohanan AFF 2018 selepas kalah dengan agregat 2-2, namun rekod 10 pertemuan sebelum ini menunjukkan Thailand menang lima kali, dan kalah hanya sekali.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This