Kementerian Kesihatan pantau penyakit polio – Dzulkefly

PUTRAJAYA,. Kementerian Kesihatan menjalankan pemantauan kehadiran virus polio dalam persekitaran melalui pensampelan air kumbahan di beberapa loji rawatan air kumbahan terpilih sejak tahun 2012 lagi, kata Menteri Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Sehingga kini, tiada virus polio yang boleh menyebabkan penyakit polio dikesan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini apabila ditanya mengenai kejadian wabak polio yang dilaporkan berlaku di Filipina baru-baru ini.

Beliau berkata kerajaan memandang serius kejadian wabak polio yang membabitkan dua orang kanak-kanak di Filipina yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 19 dan 20 September lepas.

Bagi memastikan Malaysia terus bebas daripada penyakit polio, Dr Dzulkefly berkata kerajaan akan memastikan liputan imunisasi polio melebihi 95 peratus di semua lokaliti pada setiap masa termasuk di kawasan yang telah dikenalpasti rendah liputan imunisasi.

“Bagi negeri Sabah yang hampir dengan Filipina, liputan imunisasi yang tinggi adalah penting untuk melindungi kanak-kanak dari jangkitan polio,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata kerajaan juga akan memperluaskan pemantauan sampel persekitaran di kawasan berisiko tinggi seperti kawasan penempatan warga asing dari negara yang sedang mengalami polio.

Beliau turut menasihati ibubapa supaya memastikan anak-anak mereka mendapat imunisasi yang lengkap, agar sasaran liputan imunisasi polio melebihi 95 peratus dapat dicapai di semua lokaliti di Malaysia agar jangkitan polio tidak terjadi.

Menurut Dr Dzulkefly, kes polio terakhir di Malaysia berlaku pada 1992 dan sejak Oktober 2000 Malaysia bersama-sama dengan negara rantau pasifik barat telah diisytiharkan bebas daripada penyakit polio.

Katanya kejayaan pembasmian penyakit itu adalah berikutan pencegahan melalui vaksin polio yang diperkenalkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak 1972 dan diteruskan sehingga hari ini.

Penyakit polio adalah berjangkit yang boleh menyebabkan kelumpuhan kekal.

Ia disebabkan oleh virus polio yang merebak melalui oral-fekal dan boleh juga melalui makanan dan air yang tercemar.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )