Kempen Maxis berjaya pupuk tabiat pelupusan e-sisa bertanggungjawab

Kempen Maxis berjaya pupuk tabiat pelupusan e-sisa bertanggungjawab

KUCHING,. Maxis mengumumkan kejayaannya mempromosikan tabiat pelupusan e-sisa yang bertanggungjawab dalam kalangan rakyat Malaysia lapan bulan selepas pelancaran kempen kitar semula e-sisanya.

Kenyataan akhbar dikeluarkan syarikat itu hari ini berkata, kempen telah bermula dengan penawaran perkhidmatan kutipan yang mudah untuk premis kediaman dan komersial di Lembah Klang, Johor Bahru, dan Pulau Pinang.

Kini ia diperluaskan dengan penambahan perkhidmatan penghantaran pos ‘drop-off’ percuma untuk semua pengguna di Semenanjung Malaysia.

“Diuruskan oleh rakan kempen Maxis, Electronic Recycling Through Heroes (ERTH), sebuah pusat pengumpulan e-sisa yang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar Malaysia, perkhidmatan terbaharu ini memudahkan lagi pengitaran semula e-sisa serta menggalakkan pengguna mengamalkan tabiat mesra alam.

“Kini, sesiapa yang menetap di dalam atau di luar kawasan perkhidmatan kutipan boleh memilih untuk menghantar peranti e-sisa mereka ke ERTH melalui lebih daripada 1,000 cawangan Pos Malaysia,” kata Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Transformasi Maxis Patrick Er.

Beliau menambah syarikat itu komited untuk mengurangkan kesan bahaya e-sisa dan menjadi pemangkin kepada perubahan alam sekitar yang positif.

“Kemajuan yang telah kami capai dengan ERTH mengetengahkan kepentingan menjadikan pengitaran semula e-sisa mudah diakses oleh semua pengguna.

“Kami berharap dapat bekerja sama dengan lebih ramai rakan kongsi untuk meluaskan jangkauan kempen serta memupuk tabiat pelupusan dan kitar semula e-sisa yang bertanggungjawab di seluruh negara, bagi menyumbang kepada ekonomi kitaran yang lebih hijau dan masa depan yang lebih mampan,” katanya.

Sementara itu menurut Pengasas ERTH Mohamed Tarek El-Fatatry, sejak ERTH ditubuhkan ia telah menerima permintaan kitar semula dari seluruh negara, beberapa dari luar kawasan liputan koleksi, dan yang lain dengan kuantiti barang yang kurang daripada minimum yang diperlukan untuk kutipan percuma.

Oleh itu, katanya syarikat itu telah bekerjasama dengan Pos Malaysia untuk menjadikan kitar semula e-sisa mudah diakses di seluruh Semenanjung Malaysia, tanpa mengira liputan atau kuantiti.

“Kami gembira kerana perkhidmatan pos ‘drop-off’ ini telah memainkan peranan penting dalam mempercepatkan jumlah kutipan dan kami sukacita dapat melanjutkan pilihan pos tambahan ini kepada kerjasama kami dengan Maxis yang kini sudah berjaya,” katanya.

Untuk menghantar peranti mereka, pengguna hanya perlu mengisi borang permintaan melalui laman web Maxis dan menyenaraikan barangan yang mereka ingin kitar semula untuk menerima label penghantaran percuma Pos Malaysia.

Setakat ini, kempen kitar semula e-sisa Maxis dengan ERTH telah mengumpul lebih daripada 15,000 peranti, menghalang lebih daripada 29 tan e-sisa daripada terkumpul di tapak pelupusan.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen kitar semula e-sisa dan cara mengitar semula peranti anda secara bertanggungjawab, layari www.maxis.com.my/ewaste/.

CATEGORIES
TAGS
Share This